AGC didesak perjelas gugur tuduhan terhadap pemimpin Bersatu

AGC didesak perjelas gugur tuduhan terhadap pemimpin Bersatu

C4 kata Akta 613 membenarkan pengkompaunan tetapi tiada peruntukan setara bawah Akta SPRM.

ADAM RADLAN
Timbalan Ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad dibebaskan daripada 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram selepas membayar kompaun RM4.1 juta.
PETALING JAYA:
Kumpulan anti-rasuah mendesak Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan mengapa pemimpin Bersatu, Adam Radlan Adam Muhammad, dibebaskan daripada lima pertuduhan rasuah selepas membayar kompaun pengubahan wang haram.

Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) menyatakan terdapat percanggahan dalam keputusan itu kerana tidak semua kesalahan boleh dikompaun bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Akta 613).

“Walaupun Seksyen 92(1) membenarkan pengkompaunan bagi mana-mana kesalahan di bawah akta itu, tiada peruntukan setara bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Seksyen 92 menjelaskan prosedur ini hanya terpakai untuk kesalahan di bawahnya, jadi bagaimana pihak pendakwaan boleh menggunakan peruntukan itu untuk mewajarkan penarikan lima pertuduhan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM,” menurut kenyataan.

C4 berkata perkara ini menimbulkan kebimbangan mengenai integriti sistem keadilan jenayah.

Ia menggesa AGC menjelaskan isu ini dan menyeru suatu garis panduan pendakwaan digubal bagi memastikan prosiding jenayah dijalankan demi menegakkan keadilan.

“C4 menggesa AGC memberikan penjelasan lanjut mengenai percanggahan yang dilihat dalam keputusan untuk menarik balik semua pertuduhan terhadap Adam,” katanya.

Pada Rabu, Adam, yang juga timbalan ketua Bersatu Segambut, dibebaskan daripada semua 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram selepas membayar kompaun RM4.1 juta.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membuat keputusan itu selepas dimaklumkan oleh pendakwaraya bahawa ia menerima surat representasi daripada Adam, yang menawarkan untuk membayar kompaun di bawah Seksyen 92(1) Akta 613.

Mengikut pertuduhan, Adam Radlan didakwa atas satu pertuduhan meminta suapan wang tunai 3.5% hingga 7% daripada nilai projek yang akan diperoleh daripada Mat Jusoh Mamat, yang merupakan pengarah urusan MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd.

Dia turut didakwa menerima suapan RM500,000 daripada individu sama sebagai upah kerana membantu syarikat itu mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis, daripada kerajaan secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Adam juga menghadapi tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM4.1 juta daripada Lian Tian Chuan dan Mat Jusoh, sebagai upah bagi tertuduh membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy mendapatkan dua projek Jana Wibawa; dan juga secara rasuah, meminta wang RM2 juta daripada Lian, sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan projek sama.

Semua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Adam turut berdepan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM3 juta mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta 613.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya antara Mac 2021 hingga Jan 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.