
Bekas timbalan presiden PKR berkata, pengalaman lampau membuktikan gabungan parti berbeza ideologi sukar mencapai kesepakatan dalam mentadbir dan akhirnya hanya mengutamakan kepentingan masing-masing.
“Ujian sebenar bukanlah bersatu untuk melawan Anwar Ibrahim,” katanya di Facebook, mengulas langkah PN membentuk gabungan longgar bersama parti politik lain, dengan hasrat menentang kerajaan pada PRU akan datang.
“Mereka perlu bersetuju dengan calon perdana menteri dan menteri-menteri serta membahagikan jawatan dan lantikan penting sesama mereka.
“Kerana di sebalik kesatuan yang ada sekarang, tak banyak persamaan ideologi yang menyatukan perjuangan mereka. Malah pernah menyerang sesama sendiri sebelum bersetuju untuk saling menunggang sekarang,” kata Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan.
Beliau juga berkata, tidak banyak parti dalam gabungan baharu itu mempunyai tapak kukuh di peringkat nasional kecuali PAS, Bersatu dan Gerakan.
“Adakah ia akan berjaya menggembleng sokongan rakyat untuk menang dalam PRU16? Sukar untuk kita tentukan sekarang.
“Ia juga bergantung kepada prestasi kerajaan Madani dan populariti Anwar sebagai perdana menteri,” katanya, sambil menambah jika Anwar gagal menunjukkan perubahan ketara dalam pentadbiran, tidak mustahil rakyat memilih untuk menukar kerajaan.
Rafizi yang jugas bekas menteri ekonomi berkata, tanpa asas ideologi yang jelas, gabungan longgar pembangkang akan gagal menggubal dasar rakyat kerana terlalu banyak kompromi dalaman.
“Akhirnya, kerajaan itu hanya akan teruskan ‘business as usual’ asalkan pemimpin parti dapat habuan masing-masing,” katanya.