
Ketua Umno Sabah berkata, ia selaras peruntukan dalam akta antilompat parti mana-mana Ahli Parlimen sengaja keluar parti perlu mengosongkan kerusinya.
“Dia (Shahelmey) perlu kosongkan kerusinya (Parlimen Putatan) jika sertai parti lain seperti termaktub dalam akta antilompat parti,” kata Bung, mengulas kenyataan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah Hajiji Noor bahawa Shahelmey mungkin bertanding bawah gabungan itu.
Shahelmey yang juga Adun Tanjung Keramat menang Parlimen Putatan atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRU15.
Namun, Umno menggantung keahliannya selama enam tahun sejak Mac 2023 kerana tidak mengikut ketetapan parti dalam usaha menjatuhkan Hajiji, yang juga ketua menteri Sabah menerusi Langkah Kinabalu.
Bercakap kepada FMT kelmarin, Shahelmey berkata beliau akan meneliti pandangan pengundi di DUN Tanjung Keramat dalam menentukan hala tuju politiknya termasuk bertanding atas tiket GRS pada PRN.
Ia susulan kenyataan Hajiji yang mengesahkan Shahelmey bakal menyertai pasukannya pada PRN17 Sabah.
“Dia akan ikut ‘siurang’ (kami),” kata Hajiji dalam majlis di Kota Kinabalu, Ahad lalu.
‘Siurang’ merujuk kepada GRS yang dipimpin Hajiji.