
Anwar berkata, reformasi institusi tidak boleh hanya bergantung kepada keputusan mahkamah semata-mata, sebaliknya perlu dikaji secara menyeluruh sebelum dilaksanakan.
“Mahkamah beri pandangan dan kita akan teliti,” katanya kepada wartawan.
Tambahnya, bahawa jika keputusan mahkamah selari dengan agenda reformasi, kerajaan terbuka untuk menerimanya.
“Sebagai contoh, dalam hal perhimpunan haram, saya ada masalah kerana raja-raja bertitah bahawa kebebasan berhimpun tidak sepatutnya meliputi kawasan istana. Jadi kita perlu memikirkannya.
“Kadangkala, kerana keghairahan menunjukkan untuk kebebasan rakyat, ia menyinggung kawasan lain,” kata Anwar.
Pada Selasa, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa perkataan ‘menghina’ dan ‘menjengkelkan’ dalam versi terdahulu Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 adalah tidak berperlembagaan.
Ahli Parlimen DAP Syahredzan Johan menyambut baik keputusan itu dan menggesa peguam negara meneliti semula semua kes yang sedang berjalan melibatkan versi lama Seksyen 233.
Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pula berkata bahawa kerajaan akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu.