PRN17 ‘kali terakhir’ Hajiji tanding

PRN17 ‘kali terakhir’ Hajiji tanding

Ketua menteri Sabah berkata, beliau perlu beri ruang kepada pelapis baharu dalam politik negeri.

Hajiji Noor
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata, beliau tidak pernah sangka akan diberi mandat sebagai pemimpin nombor satu negeri selepas lebih 35 tahun bergiat dalam arena politik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor memberi bayangan bahawa PRN17 akan menjadi penyertaan terakhirnya dalam arena politik.

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan kesinambungan kepimpinan dan memberi ruang kepada pelapis baharu dalam politik negeri.

“Saya beritahu orang-orang saya di Sulaman, ini terakhir saya ikut pilihan raya ini,” katanya lapor Astro Awani.

Beliau juga berkata tidak pernah menyangka akan diberi mandat sebagai pemimpin nombor satu negeri itu selepas lebih 35 tahun bergiat dalam arena politik.

Pada Mei lepas, sekretariat kerajaan perpaduan mengumumkan bahawa Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan bekerjasama dalam PRN Sabah akan datang.

Hajiji sebelum itu memberi amaran GRS bersedia bertanding solo sekiranya PH bergabung dengan BN dalam PRN itu.

Bagaimanapun, pengerusi PH Anwar Ibrahim kemudian menyeru agar gabungan PH-BN bekerjasama dengan gabungan negeri itu.

Rundingan antara ketiga-tiga gabungan dikatakan sedang berlangsung, namun Hajiji secara konsisten menegaskan bahawa parti-parti berasaskan Sabah harus menjadi tunjang kepada mana-mana pakatan dan menerajui kerajaan negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.