PLKN penting untuk keselamatan, keamanan negara masa depan, kata ahli akademik

PLKN penting untuk keselamatan, keamanan negara masa depan, kata ahli akademik

Zaid Ahmad dari UIAM berkata PLKN penting untuk menyediakan rakyat yang berdisiplin, berjiwa patriotik dan berdaya tahan.

plkn 2025
Pakar sejarah dan tamadun UIAM, Zaid Ahmad berkata tidak munasabah untuk menghentikan PLKN 3.0 hanya kerana isu teknikal seperti mahu menjimatkan kos, kerana program itu masih boleh ditambah baik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) perlu diteruskan kerana ia satu program penting sebagai persediaan untuk menjaga keselamatan dan keamanan negara pada masa hadapan, kata seorang ahli akademik.

Pakar sejarah dan tamadun dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Zaid Ahmad berkata, program itu juga perlu diperluaskan kepada rakyat, khususnya golongan muda.

“Kenapa kerajaan perlu belanja dana yang besar untuk beli aset keselamatan sedangkan Malaysia tidak berperang?

“Ini kerana, aset ini penting untuk bina kekuatan menghadapi sebarang ancaman dimasa akan datang. Ia sama penting dengan kita menyediakan rakyat yang berdisiplin, berjiwa patriotik dan berdaya tahan melalui PLKN,” katanya kepada FMT.

Zaid juga berkata, tidak munasabah untuk kerajaan menghentikan PLKN 3.0 hanya kerana isu teknikal seperti mahu menjimatkan kos, kerana program itu masih boleh ditambah baik.

Zaid Ahmad
Zaid Ahmad.

Katanya, Ahli Parlimen sepatutnya mencadangkan penambahbaikan PLKN seperti bagaimana mahu perbaiki kelemahan atau menjimatkan dana, bukannya mendesak program itu dihentikan.

“Mungkin ada pihak kata PLKN tidak perlu kerana negara dalam keadaan aman. Tetapi jika kita hanya mula bersedia apabila keadaan tidak aman, sudah terlambat.

“Keamanan adalah prasyarat kepada kemajuan. Bagaimana mahu maju kalau tiada keselamatan?” katanya.

Semalam, Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin menggesa semua pihak agar tidak mempolitikkan PLKN 3.0 kerana ia merupakan intervensi strategik bagi membina generasi muda yang berdisiplin, patriotik dan berdaya tahan.

Pada 6 Ogos lalu, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah semasa membahas Rancangan Malaysia Ke-13, mengulangi gesaan agar kerajaan tidak meneruskan pelaksanaan PLKN 3.0 kerana didakwa tidak mempunyai objektif serta sasaran pencapaian yang jelas.

Katanya, dana untuk program itu boleh digunakan untuk membiayai inisiatif lain, termasuk program sedia ada di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Mengulas lanjut, Zaid yang pernah berkhidmat dalam bidang ketenteraan hampir 30 tahun, berkata adalah tidak adil untuk mendakwa program itu tidak berkesan sedangkan ia baru diperkenalkan semula.

“Nak kata ada kelemahan pun tak boleh juga, sebab PLKN 3.0 baru masuk kumpulan pertama dan kedua.

“Mungkin selepas tiga atau empat tahun, kita boleh nilai semula dan tambah baik jika ada kelemahan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan penglibatan sektor korporat, termasuk syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, menerusi sumbangan atas dasar tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk menjimatkan dana.

“Selama ini CSR banyak fokus kepada hiburan, lebih baik disalurkan kepada program seperti PLKN. Ini bukan sahaja membantu anak muda, tetapi juga menjimatkan dana kerajaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.