Penuhi tuntutan atau letak jawatan, Fadhlina diberitahu

Penuhi tuntutan atau letak jawatan, Fadhlina diberitahu

Himpunan mogok 'UndurFadhlina’ diketuai Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia serah memorandum kepada menteri pendidikan.

UndurFadhlina
Peserta himpunan mogok ‘UndurFadhlina’ di depan bangunan Kementerian Pendidikan.
PUTRAJAYA:
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek digesa memenuhi enam tuntutan berkaitan keselamatan murid dalam tempoh 30 hari atau meletakkan jawatan serta-merta jika gagal berbuat demikian.

Perkara itu dinyatakan hampir 20 peserta himpunan mogok ‘UndurFadhlina’ diketuai Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) dan Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (Haram) di depan bangunan Kementerian Pendidikan sejak 10.30 pagi.

Presiden Gamis, Azamuddin Sahar, berkata himpunan bertujuan menyerahkan memorandum ‘secara langsung’ kepada Fadhlina susulan ‘kegagalannya’ menangani kes kematian Zara Qairina Mahathir, reformasi pendidikan dan perkara lain.

UndurFadhlina
Memorandum diterima wakil Kementerian Pendidikan Faiz Rashid (dua kanan).

Dakwanya, tiada penyelesaian tuntas daripada Fadhlina dalam menangani kes buli yang meningkat secara mendadak sekian lama.

“Kami nak tuntutan ini diserahkan ‘first hand’ kepada menteri,” katanya ketika ditemui.

Memorandum diterima wakil KPM Faiz Rashid pada 12.20 tengah hari.

Antaranya tuntutan dikemukakan termasuk mewujudkan sistem sokongan psikososial di sekolah dengan meningkatkan nisbah kaunselor kepada pelajar serta menyediakan talian 24 jam mesra pelajar untuk aduan rahsia berkaitan buli dan sebagainya.

Selain itu, latihan wajib guru dan warden asrama mengenai ‘trauma-informed education’, kewajipan modul didikan ibu bapa melalui seminar berkala dan pembentukan panel pemantau bebas bagi menyemak laporan buli.

Memperkenalkan ‘roadmap’ awal pelan nasional antibuli dengan sasaran, garis masa, indikator kejayaan dan laporan berkala setiap tiga bulan, serta langkah tambahan bagi keselamatan murid seperti pemasangan CCTV dan penubuhan unit khas siasatan buli melibatkan guru, polis serta persatuan ibu bapa.

Presiden Haram, Brandon Gan, mempersoalkan keberkesanan langkah KPM mewajibkan laungan antibuli di sekolah bagi menangani gejala tersebut.

Beliau turut menyifatkan pemberian insentif kepada sekolah ‘sifar buli’ sebagai penganiayaan kepada murid pada masa akan datang kerana berisiko memupuk tindakan ‘sapu bawah karpet’ iaitu menyembunyikan kejadian demi menjaga imej sekolah.

Sementara itu, Fadhlina dalam respons di Facebook memaklumkan akan meneliti semua cadangan berkenaan.

Katanya, ketika ini KPM sedang melaksanakan beberapa usaha penting bertujuan memperkukuh aspek keselamatan di institusi pendidikan  termasuk melaksanakan audit keselamatan, memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan menubuhkan jawatankuasa reformasi keselamatan.

“Saya mengalu-alukan pandangan serta cadangan semua pihak bagi menambah baik aspek keselamatan di semua institusi pendidikan KPM. Usaha memerangi salah laku buli dan memastikan ekosistem selamat di institusi pendidikan adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.