MRT Corp nafi ‘kenaikan kos tak terkawal’ laluan LRT P Pinang

MRT Corp nafi ‘kenaikan kos tak terkawal’ laluan LRT P Pinang

Katanya bajet disemak itu termasuk kos pengambilan tanah, kontrak bersyarat untuk Konsortium SRS dan beberapa kontrak lain belum diberikan.

lrt penang bernama pic 21825
MRT Corp berkata siling bajet disemak semula untuk projek LRT Laluan Mutiara di Pulau Pinang selaras keadaan pasaran sepanjang lapan tahun lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
MRT Corp menolak dakwaan kenaikan kos tidak terkawal bagi projek LRT Laluan Mutiara di Pulau Pinang, dengan memberikan pecahan terperinci siling bajet disemak semula berjumlah RM16.8 bilion.

Ia mengakui anggaran awal kos pada 2016 ialah RM10 bilion, yang ketika itu dikenali projek Bayan Lepas LRT Pulau Pinang, hanya membabitkan jajaran dari Pulau Silikon ke Komtar.

Menurutnya, kos itu meningkat kepada RM13 bilion selepas diambil alih kerajaan persekutuan pada 2024, dengan jajaran dilanjutkan dari Macallum ke Penang Sentral.

Katanya, siling bajet itu kemudian disemak kepada RM16.8 bilion pada Disember 2024, dengan MRT Corp diberi mandat mengekalkan kos lebih rendah.

Ia berkata, kontrak bersyarat bernilai RM8.31 bilion diberikan kepada SRS Consortium Sdn Bhd pada Januari tahun ini untuk pakej kontrak utama sivil 1. Jumlah itu dikurangkan kepada RM7.93 bilion selepas pelaksanaan pengurusan nilai pada April lalu.

“Siling bajet RM16.8 bilion juga termasuk kos pengambilan tanah yang kini dianggarkan kira-kira RM2 bilion.

“Baki RM6.8 bilion untuk pakej kontrak utama sivil 2, depoh penstabil ringan di Sungai Nibong dan kontrak turnkey sistem – semuanya belum diberikan, serta kos pengurusan projek dan perundingan.

“MRT Corp mengulangi siling yang disemak tidak mewakili kenaikan kos tidak terkawal. Ia terutamanya mencerminkan keadaan pasaran semasa sepanjang lapan tahun lalu,” katanya dalam kenyataan.

Laluan Mutiara dijangka sepanjang 29.5km secara keseluruhan dengan 21 stesen, menghubungkan pulau tebus guna berhampiran lapangan terbang ke Komtar, dan seterusnya melalui jambatan rentas saluran ke Butterworth.

Isnin lalu, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook memberitahu Dewan Rakyat, bajet projek itu sekitar RM16.8 bilion.

Naib Presiden MCA, Tan Teik Cheng, kemudiannya menyuarakan kebimbangan terhadap kenaikan kos diunjurkan kerana membabitkan dana awam.

Ketua MCA Pulau Pinang itu mempertikaikan tindakan Kementerian Pengangkutan mengaitkan kenaikan kos kepada “pengurusan nilai” tanpa memberikan butiran terperinci mengenainya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.