Malaysia tak rancang hos semula F1

Malaysia tak rancang hos semula F1

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata penganjuran F1 akan memerlukan kerajaan labur sekitar RM300 juta setahun untuk bayar yuran hak penganjuran.

Malaysia pernah jadi tuan rumah F1 di Sepang dari 1999 hingga 2017 sebelum dihentikan atas sebab kos penganjuran tinggi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Malaysia tidak merancang menganjurkan kejohanan Formula 1 (F1) buat masa ini memandangkan kos yuran hak penganjuran dan penyediaan fasiliti tinggi serta kalendar perlumbaan yang padat.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata penganjuran F1 akan memerlukan kerajaan melabur sekitar RM300 juta setahun untuk membayar yuran hak penganjuran kepada Liberty Media iaitu pemegang hak komersial kejohanan itu.

“Secara amnya, Malaysia perlu mengikat kontrak penganjuran sepanjang tiga sehingga lima tahun dengan Liberty Media dan ini akan melibatkan komitmen yuran hak penganjuran kejohanan F1 sekitar RM1.5 bilion untuk tempoh tersebut,” katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) yang meminta menteri menyatakan adakah Malaysia boleh menganjurkan F1 sekali lagi.

Untuk rekod, Malaysia pernah menganjurkan F1 di Sepang dari 1999 hingga 2017 sebelum dihentikan atas sebab kos penganjuran tinggi selain minat penonton yang semakin merosot serta jualan tiket kurang mendapat sambutan.

Sementara itu, Yeoh berkata kerajaan tidak menutup peluang sepenuhnya untuk menganjurkan F1 sekali lagi.

Katanya, pihak korporat yang berminat menampung keperluan bagi yuran hak penganjuran F1 boleh menghubungi Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk perbincangan lanjut.

Ahad lalu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, berkata untuk membawa kembali penganjuran F1 ke Malaysia ketika ini begitu sukar kerana ia memerlukan kos sangat besar.

Kataya, senarai menunggu juga amat panjang dan itu akan memberi impak besar kepada operasi kewangan.

Beliau berpendapat, tindakan Malaysia berhenti menjadi salah satu tuan rumah bagi kalender F1 pada 2017 adalah langkah sangat merugikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.