JPJ sita 3 bas henti-henti di KL

JPJ sita 3 bas henti-henti di KL

Cukai jalan tiga bas itu tamat tempoh dan sijil pemeriksaan Puspakom luput.

JPJ menyita tiga bas JPJ KL pic 21825
Tiga bas henti-henti disita dalam Ops Harian di sekitar kawasan tumpuan pelancong di pusat bandaraya Ahad lalu. (Gambar JPJ WPKL)
KUALA LUMPUR:
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur menyita tiga bas henti-henti dalam Ops Harian di sekitar kawasan tumpuan pelancong di pusat bandaraya Ahad lalu.

Pengarah JPJ WPKL, Hamedi Adam, berkata ketiga-tiga bas perkhidmatan awam itu didapati melakukan pelbagai kesalahan serius, termasuk lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh sejak April dan Jun 2025 serta sijil pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) luput Mei dan Jun lalu.

“Semua bas berkenaan dipandu warga tempatan dan tindakan penguatkuasaan diambil dengan saman dikeluarkan kepada pemandu dan pemilik kenderaan mengikut peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta peraturan berkaitan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, JPJ memandang serius sebarang bentuk ketidakpatuhan, khususnya melibatkan kenderaan awam yang membawa pelancong dan warga kota.

“Penguatkuasaan ini sebahagian komitmen berterusan JPJ dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan integriti sistem pengangkutan awam sentiasa terpelihara.”

Menurutnya, orang awam digalak menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang melalui saluran rasmi seperti aplikasi MyJPJ: e-Aduan atau e-mel [email protected] dengan butiran lengkap.

“JPJ WPKL komited dalam memastikan setiap kenderaan di jalan raya mematuhi undang-undang demi keselamatan semua. Pandu cermat, sampai selamat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.