
Timbalan Ketua Menteri, Shahelmey Yahya, berkata mana-mana parti berhak menawarkan janji menyelesaikan isu berkenaan, namun menegaskan hanya pelan jangka panjang dapat memberikan hasil.
“Jika ada yang menjanjikan masalah ini boleh diselesaikan segera apabila mendapat kuasa, itu hanyalah janji manis.
“Namun, yang diperlukan adalah perancangan jangka panjang. GRS sudah sediakan pelan lengkap, kini hanya perlu dilaksanakan mengikut jadual,” katanya yang juga menteri kerja raya Sabah dalam temu bual FMT.
Minggu lalu, Presiden Warisan Shafie Apdal dalam temu bual FMT berkata memperbaiki kemudahan asas air, elektrik dan jalan raya menjadi keutamaan partinya jika memenangi PRN Sabah.
Bekas ketua menteri itu menjelaskan, masalah berkenaan tidak dapat diselesaikan dalam pentadbirannya selama 26 bulan, dari Mei 2018 hingga September 2020 selain kekangan akibat pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, Shahelmey berkata kegagalan tersebut juga berpunca daripada keputusan kerajaan ketika itu menghentikan kerja penyelenggaraan loji atas alasan penjimatan.
“Sedangkan kos penyelenggaraan tetap diperlukan. Operasi yang sebelum ini berjalan baik akhirnya merudum kerana tiada perancangan rapi termasuk penyelenggaraan dan penggantian peralatan.
“Ini menjejaskan pengeluaran dan kecekapan loji air. Kerajaan GRS kini sudah melantik kontraktor penyelenggaraan, tetapi masalah ini tidak boleh diselesaikan sekelip mata dan memerlukan masa,” katanya.
Shahelmey berharap perancangan digariskan GRS dapat diteruskan dengan mandat rakyat pada PRN akan datang, disokong peruntukan lebih besar termasuk menerusi agihan 40% hasil diperjuangkan Sabah bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kita masih berunding dengan kerajaan persekutuan. Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) pada 12 Sept ini akan membincangkan perkara tersebut untuk dimuktamadkan.
“Peruntukan ini dapat membantu kerajaan negeri melaksanakan pembangunan infrastruktur dengan lebih baik,” katanya.