
Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah berkata, mengekalkan hubungan kukuh dengan kerajaan persekutuan satu keperluan strategik, manakala Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya menyifatkan ia realiti politik lazim.

Bilcher berkata, perjanjian kerjasama komersial yang dimeterai dengan Petronas pada 2021 tidak mungkin dicapai tanpa hubungan kerja erat kerajaan negeri dan persekutuan ketika itu.
“Hubungan baik dengan Semenanjung Malaysia bukan saja akan mempercepatkan pelaksanaan dasar, tetapi memberi ruang untuk rundingan lanjut mengenai hak Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Tanpa hubungan membina, Sabah berisiko diketepikan dalam pengagihan sumber dan dasar negara,” katanya kepada FMT.
Awang Azman berkata, hubungan baik adalah perlu kerana Sabah agak bergantung kepada Putrajaya untuk mendapatkan peruntukan serta kelulusan projek dan dasar utama negeri.
Beliau mendapati Parti Bersatu Sabah (PBS) tiada hubungan erat dengan kerajaan persekutuan semasa mentadbir negeri itu pada 1985 – keretakan yang membawa kepada pembelotan dan peletakan jawatan Ketua Menteri ketika itu, Joseph Pairin Kitingan.
“Apabila parti atau gabungan membentuk kerajaan negeri tanpa mengekalkan hubungan baik dengan kerajaan persekutuan, ia berisiko menyebabkan projek tergendala, kelewatan pembiayaan dan kestabilan politik terancam.”
Menurutnya, mana-mana pihak ingin membentuk kerajaan Sabah seterusnya perlu menjalin hubungan erat dengan Pakatan Harapan (PH), yang menerajui kerajaan perpaduan, dan Umno, memandangkan peranan pentingnya dalam pentadbiran persekutuan.
Pada 12 Ogos lalu, Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor dilaporkan berkata, hubungan kukuh Sabah dan Putrajaya penting untuk memastikan pembangunan berterusan negeri Borneo itu.
Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu ketika berucap di Ranau berkata, ini sebabnya GRS mahu mengekalkan pakatannya dengan PH kerana kemenangan dalam PRN akan datang tidak bermakna tanpa kestabilan.
Bilcher berkata, sinergi kerajaan persekutuan dan negeri di bawah pentadbiran Hajiji membawa kemajuan ketara kepada Sabah, mengukuhkan pandangan bahawa kerjasama itu aspek penting dalam kepimpinan negeri berkesan.
“Kenyataannya juga sebagai isyarat kepada pengundi bahawa GRS bukan hanya mahu menang (PRN), tetapi ingin membentuk kerajaan negeri yang boleh bertahan dan berfungsi selari kerajaan perpaduan.”

Justeru, beliau menjangkakan pihak bercadang bertanding solo dalam PRN akan mengambil pendekatan berhati-hati dalam “menyerang” kerajaan persekutuan, khasnya PH.
Beliau berkata, Warisan khususnya boleh memilih untuk mengkritik dasar persekutuan dengan cara lebih membina disebabkan kedudukannya dalam kerajaan perpaduan.
Tetapi, Awang Azman berkata, parti bergerak solo mungkin mengambil pendekatan berbeza dengan menyuarakan kritikan lebih lantang terhadap Putrajaya untuk menonjolkan identiti tersendiri dan membezakan objektif politik mereka daripada bidang lebih luas.