Pertuduhan 5 remaja kes Zara boleh dipinda, kata Saifuddin

Pertuduhan 5 remaja kes Zara boleh dipinda, kata Saifuddin

Menteri dalam negeri berkata pindaan pertuduhan dalam sesuatu prosiding adalah perkara biasa.

saifuddin nasution
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata jika ada bukti baharu pertuduhan terhadap lima remaja dalam kes Zara Qairina Mahathir boleh dipinda.
PETALING JAYA:
Pertuduhan ke atas lima remaja perempuan dalam kes Zara Qairina Mahathir boleh dipinda jika ada bukti baharu, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya, pindaan pertuduhan dalam sesuatu prosiding adalah perkara biasa.

“Sudah tentu tuduhan itu boleh dipinda. Meminda pertuduhan dalam satu proses perkara biasa.

“Kadang-kadang (tertuduh) dituduh bawah Seksyen 302 dan bukan 304. Proses undang-undang begitu,” katanya dalam sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) sama ada pertuduhan boleh ditukar jika terdapat penemuan bukti baharu dalam inkues kematian pelajar Tingkatan 1 itu.

Saifuddin berkata, inkues yang dijalankan adalah untuk mencari punca kematian Zara.

Terdahulu, lima remaja didakwa di Mahkamah Kanak-kanak, Kota Kinabalu, Sabah, atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara, yang meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran sekolahnya.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Mereka didakwa dalam mencapai niat bersama, menggunakan perkataan mencela terhadap Zara, 13, yang mana perkataan tersebut didengari oleh mangsa yang mungkin menyebabkan pelajar itu terganggu dengan perkataan berkenaan.

Kelima-lima pelajar didakwa melakukan perbuatan itu di blok Asrama Rabiatul Adawiyah Dorm A-3-6, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha Limauan WDT 15, Papar, antara 10 malam dan 11 malam, pada 15 Julai lalu.

Zara meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran asrama sekolah itu pada pagi 16 Julai.

Sementara itu, Saifuddin berkata polis juga akan membuka semula kertas siasatan kes kematian pelajar tahfiz, Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang dipercayai dibunuh di sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas, Kelantan pada Disember 2013.

Beliau berkata, pihaknya tiada masalah berbuat demikian kerana kertas siasatan sudah siap.

“Namun ketika itu (2013), timbalan pendakwa raya bertindak mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

“Sekarang keluarga (Wan Ahmad) Faris kata ada kewajaran dilihat semula, saya hendak bagi tahu polis akan buka semula.

“Saya sudah bincang dengan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah apa yang menghalang kita untuk tengok semula (kertas siasatan), polis kata tiada masalah apa-apa untuk buka balik kertas siasatan itu kerana ia sudah lengkap,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.