
Hilman dijangka didakwa berhubung ucapannya membantah Akta Hasutan dalam satu perhimpunan bulan lepas.
Semua pemimpin pembangkang dan penyokong tersebut tiba di mahkamah pada jam 9.19 pagi bagi memberi sokongan kepada Adun Gombak Setia.
Kumpulan itu turut melaungkan slogan ‘hidup Hilman’ dan ‘hidup rakyat’.
Antara yang hadir Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali, Ketua Wanita Bersatu Mas Ermieyati Samsudin, Naib Ketua Pemuda Bersatu Muhammad Faiz Rahmad dan Ahli Parlimen Pasir Salak Jamaludin Yahya.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, Ketua Pemudanya Afnan Hamimi Taib Azamudden, Ketua Penerangan Ahmad Fadhli Shaari, Ketua Dewan Ulama Ahmad Yahya dan Ahli Parlimen Pendang Awang Hashim turut hadir.
Hilman dilaporkan bakal didakwa bawah kanun keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam.
Dalam ucapannya ketika perhimpunan di luar IPD Dang Wangi pada 29 Julai, Hilman membidas penahanan beberapa ahli parti, disyaki berkaitan dengan himpunan ‘Turun Anwar’ beberapa hari sebelum itu.
Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan akan mendakwa Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh dan Hilman mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berhubung tindakan mengeluarkan kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam.
AGC memaklumkan, pendakwaan terhadap Akmal dibuat susulan kenyataannya di laman Facebook ‘Akmal Saleh’, manakala Hilman pula didakwa atas kenyataan dalam video di akaun TikTok ‘alfah.channel.tv’.