Maklumat tiada kena-mengena Ismail atau KJ, jelas Rafizi

Maklumat tiada kena-mengena Ismail atau KJ, jelas Rafizi

Ahli Parlimen Rafizi Ramli nafi beliau teliti kes melibatkan Ismail Sabri Yaakob atau Khairy Jamaluddin.

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli kata dakwaan beliau teliti kes melibatkan Ismail Sabri Yaakob dan Khairy Jamaluddin adalah tidak benar.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli menafikan beliau meneliti kes melibatkan bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob atau bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata maklumat yang diberikan kepadanya tidak ada kena-mengena dengan mereka.

“Saya tak selidik atau sentuh kedua-duanya, ini cubaan jahat mengalihkan perhatian,” katanya di Facebook.

Rafizi mengulas tuduhan-tuduhan yang menurutnya ‘tiba-tiba’ berlegar, berkait pertemuannya dengan pemberi maklumat mengenai suatu skandal yang beliau sedang teliti.

Bekas menteri ekonomi ini menyangkal dakwaan beliau sedang meneliti kes melibatkan Ismail, berkenaan wang yang dicuci di luar negara.

Beliau juga menyangkal dakwaan beliau sedang meneliti kes melibatkan Khairy, berkenaan projek semasa beliau menjadi menteri kesihatan.

“Kedua-dua tuduhan ini tidak benar,” katanya.

“Saya telah berhubung dengan Ismail dan menyokong sepenuhnya keputusan beliau untuk membuat laporan polis mengenai berita-berita tidak benar begini.”

Sehari selepas anaknya diserang, Rafizi pada sidang media di Parlimen berkata beliau percaya serangan itu ada kaitan dengan siasatan sedang dijalankannya.

Menurut Rafizi, beliau ada menerima maklumat daripada sekumpulan pemberi maklumat berkenaan skandal terbabit dan beliau percaya pihak terbabit cuba memberi tekanan supaya siasatan itu dihentikan.

Anak lelaki Rafizi diserang secara tiba-tiba ketika bersama isterinya di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, pada 13 Ogos kira-kira 1.45 tengah hari.

Menurut Rafizi, ketika anak dan isterinya hendak memasuki kereta untuk meninggalkan pusat beli-belah itu, dua lelaki berpakaian hitam sepenuhnya dan bertopi keledar yang menutup seluruh muka mengheret anaknya dan mencucuk dengan jarum suntikan.

Kanak-kanak itu dilaporkan dibawa ke Hospital Sultan Abdul Aziz Shah Universiti Putra Malaysia untuk rawatan.

Rafizi turut mendakwa pihak terbabit cuba mengugut isterinya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.