
Beliau berkata, pelaksanaan pindaan Seksyen 507B hingga 507G akta itu memperkukuh kuasa undang-undang ke atas perbuatan jenayah buli.
Menurut Saifuddin, sejak pindaan Seksyen 507 Kanun Keseksaan dikuatkuasakan dan diwarta pada 11 Julai lepas, polis sudah membuka 11 kertas siasatan berkaitan buli.
“Kertas siasatan ini masing-masing ada bawah Seksyen 507B, 507C dan sebagainya … ini menunjukkan adanya penambahbaikan undang-undang itu yang membolehkan polis bertindak,” katanya.
“Sekarang ini, macam kes Zara misalnya yang sudah dituduh hari ini, itu tuduhan di bawah satu seksyen yang kita pinda sebelum ini, menjadikan ini kes yang pertama kita tuduh (sejak pindaan).”
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat hari ini, lapor Bernama.
Awal hari ini, lima remaja didakwa di Mahkamah Kanak-kanak, Kota Kinabalu, Sabah, atas tuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu yang meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam kawasan sekolahnya.
Tuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.