
Sebaik pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dibacakan, Hilman mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Amira Abd Aziz dan minta dibicarakan.
Mengikut kertas pertuduhan, Hilman didakwa membuat kenyataan di suatu akaun Tiktok yang mungkin menimbulkan kegentaran awam yang boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Kenyataan itu dilihat dan didengar oleh anggota polis di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini pada 2.09 petang 30 Julai lalu.
Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Badiuszaman Ahmad, memohon tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000.
Bagaimanapun, Rafique Rashid Ali yang mewakili Hilman memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya memberikan kerjasama baik kepada polis sepanjang proses siasatan.
Hilman turut diwakili Takiyuddin Hassan, Zolazrai Zolkapli, Alias Rasman dan Afiqa Nardin.
Mahkamah menetapkan wang jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin. Sebutan semula kes ditetapkan pada 9 Oktober depan untuk serahan dokumen.