Kes Akmal: Lihat dalam konteks keharmonian negara

Kes Akmal: Lihat dalam konteks keharmonian negara

Penganalisis berkata patriotisme juga tentang memastikan keharmonian kaum dan memelihara perpaduan.

Penganalisis berkata pendakwaan terhadap Dr Akmal Saleh tidak seharusnya menangkis semangat patriotisme atau keinginan untuk mempertahankan Jalur Gemilang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pendakwaan terhadap Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh tidak harus ditafsir sebagai mengekang semangat patriotisme, sebaliknya memperkukuh makna sebenar kecintaan kepada negara, kata penganalisis.

Pensyarah Universiti Malaysia Sabah, Syahrudin Awang Ahmad, berkata patriotisme juga tentang memastikan keharmonian kaum dan memelihara perpaduan rakyat.

“Generasi akan datang perlu memahami bahawa tindakan mempertahankan kedaulatan negara merangkumi semua aspek, termasuk menjaga sensitiviti kaum dan agama.

“Sekiranya semangat patriotisme hanya diukur melalui provokasi dan perkauman, ia akan merosakkan asas perpaduan yang menjadi tunjang utama negara,” katanya kepada FMT.

Syahrudin berkata, pendakwaan terhadap Akmal memberikan dua mesej iaitu tiada individu yang kebal daripada undang-undang dan peringatan kebebasan bersuara bukan lesen untuk mengeluarkan kenyataan dikatakan boleh menggugat keharmonian.

“Kes ini juga boleh menjadi penanda aras untuk kes-kes seumpamanya pada masa hadapan,” katanya.

Syahrudin percaya tindakan undang-undang itu seharusnya memperkukuh makna sebenar patriotisme, iaitu menghormati dan memelihara keharmonian negara.

“Pendakwaan terhadap Akmal Saleh tidak seharusnya menangkis semangat patriotisme atau keinginan untuk mempertahankan Jalur Gemilang,” katanya.

Semalam, Jabatan Peguam Negara memaklumkan Akmal akan didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berhubung tindakan mengeluarkan kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam, berkait hantaran Facebook didakwa dibuatnya pada Jumaat.

Pendakwaan itu menyusuli siasatan polis ke atas satu video tular yang dikatakan mengeluarkan kenyataan boleh dikategorikan sebagai ‘hate content’, susulan laporan orang awam.

Perkembangan ini berlatarkan isu seorang pemilik kedai di Pulau Pinang yang dikatakan tidak sengaja menggantung bendera Jalur Gemilang secara terbalik, baru-baru ini.

Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, mempunyai pendapat berbeza, mengatakan mesej utama Akmal adalah mempertahankan Jalur Gemilang, di sebalik dakwaan pemimpin Umno itu menyasarkan kumpulan tertentu.

“Saya tidak percaya Akmal memilih satu kaum sahaja menjadi sasaran kerana apa yang dilakukan adalah sesuatu yang ternyata di depan mata dan beliau ingin mengambil tindakan,” katanya.

“Mungkin ada motif politik dan itu bukannya menjadi satu kesalahan.”

Dalam pada itu, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa menjangkakan orang ramai berbeza pandangan mengenai peristiwa, maka perlunya satu perbincangan terbuka mengenainya pada saat ini.

“Ada banyak cara untuk tunjuk sayang kepada negara. Tak semua perkara perlu retorik marah-marah. Ada cara lembut yang masih sampaikan mesej dan yang penting itulah ajaran Islam pun,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.