Kematian pelajar kolej: Polis ambil keterangan 19 individu

Kematian pelajar kolej: Polis ambil keterangan 19 individu

Polis mengambil keterangan ahli keluarga, rakan dan saksi bagi membantu siasatan kes kematian seorang pelajar kolej wanita di rumah keluarganya di Subang Jaya, Khamis lalu.

wan azlan
Ketua Polis Subang Jaya Wan Azlan Wan Mamat berkata siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti motif sebenar kejadian serta suspek terlibat. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis sudah merakam keterangan 19 individu, termasuk ahli keluarga, rakan dan saksi bagi membantu siasatan kes kematian seorang pelajar kolej wanita disyaki dibunuh di kediaman keluarganya di USJ 2/1, Subang Jaya, Khamis lalu.

Ketua Polis Subang Jaya, Wan Azlan Wan Mamat, berkata siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti motif sebenar kejadian serta suspek terlibat.

“Setakat ini, belum ada tangkapan dilakukan. Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Mangsa yang berusia 20-an ditemui tergantung pada kipas siling di ruang tamu tingkat dua rumahnya oleh bapanya pada 11.55 pagi.

Berdasarkan laporan bedah siasat pakar patologi Hospital Serdang, punca kematian disahkan akibat pendarahan pada sekeliling tulang leher (hyoid bone), manakala kecederaan pada otot dan tulang disebabkan kesan cekik (manual strangulation).

Mangsa yang tinggal bersama kakak serta sepupunya didapati bersendirian semasa kejadian dan tiada kehilangan harta benda dilaporkan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.