
Ismail berkata, laporan dibuat pada Isnin oleh setiausaha akhbarnya di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, terhadap sebuah laman Facebook yang memuat naik dua artikel palsu serta fitnah mengaitkannya dengan serangan tersebut, serta skandal membabitkan syarikat swasta.
“Satu laporan juga telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Facebook supaya tindakan segera diambil terhadap laman serta pengendali atau pemiliknya,” kata bekas naib presiden Umno itu dalam kenyataan.
Ismail menegaskan, kandungan hantaran itu tidak benar sama sekali dan berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi serta nama baiknya.
Beliau juga telah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang selanjutnya.
Terdahulu, Rafizi menafikan dakwaan mengaitkan Ismail dan bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin dengan serangan terhadap anaknya.
Bekas timbalan presiden PKR itu berkata, wujud dakwaan seminggu sebelum serangan itu bahawa seorang pemberi maklumat mendedahkan butiran mengenai kes pengubahan wang haram yang didakwa melibatkan Ismail.
Katanya, turut didakwa maklumat yang didedahkan itu juga menyentuh projek-projek yang dikaitkan dengan Khairy semasa beliau menerajui Kementerian Kesihatan.
Dalam kejadian pada 13 Ogos lepas, anak lelaki Rafizi berusia 12 tahun diserang ketika bersama ibunya di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
Dia diheret dan dicucuk dengan picagari sebelum penyerangnya melarikan diri.
Rafizi mendedahkan bahawa rakaman CCTV menunjukkan dua lelaki berpakaian serba hitam dan memakai topi keledar penuh mengekori kereta isterinya dengan menaiki motosikal.
Sehari selepas kejadian itu, Rafizi berkata, beliau percaya serangan itu merupakan ‘cubaan menutup mulutnya’ berhubung sesuatu perkara yang sedang disiasatnya.