
Beliau turut meminta Adun Merlimau itu bersabar dan tabah mengharungi dugaan.
“Saya yakin semua anak muda dalam negara dan juga dunia ini cukup kental untuk melawan kezaliman.
“…salah satu kemewahan terakhir yang dimiliki orang muda ialah idealisme dan juga prinsip. Jadi, saya yakin kita akan terus berjuang mempertahankan prinsip dan juga idealisme kita melawan kezaliman,” katanya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan akan mendakwa Akmal dan Hilman mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan boleh mendatangkan khianat awam.
AGC memaklumkan pendakwaan terhadap Akmal dibuat susulan kenyataannya di Facebook ‘Akmal Saleh’, manakala Hilman pula didakwa atas kenyataan dalam video TikTok ‘alfah.channel.tv’.
Terdahulu, Hilman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas dakwaan membuat kenyataan yang mungkin menimbulkan kegentaran awam.
Mahkamah menetapkan wang jamin RM4,000 dan seorang penjamin. Sebutan semula kes ditetapkan 9 Okt ini untuk serahan dokumen.