Geng Budak Sekolah: D11 lancar siasatan lanjut

Geng Budak Sekolah: D11 lancar siasatan lanjut

Siasatan yang dikendalikan Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak itu perlu dilaksanakan berhati-hati kerana libat kanak-kanak.

Saifuddin Nasution Ismail
Menteri Saifuddin Nasution Ismail berkata polis sedang jalankan siasatan lanjut susulan terbongkarnya ‘Geng Budak Sekolah’.
PUTRAJAYA:
Polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes jenayah seksual melibatkan kanak-kanak susulan terbongkarnya satu kumpulan dikenali sebagai ‘Geng Budak Sekolah’.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata siasatan yang dikendalikan Bahagian D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak) itu perlu dilaksanakan berhati-hati kerana ia melibatkan kanak-kanak.

“Cara menguruskan kes kanak-kanak ini ada kaedahnya. Gambar tak boleh dikongsi, nama tak boleh disebut dan segala macam. Menguruskan kes yang melibatkan kanak-kanak dan seumpama ini satu proses rumit yang kita kena faham,” kata beliau, selepas majlis perhimpunan bulanan KDN.

Ditanya jika ada kemungkinan wujud dalang di sebalik kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah seksual itu, beliau berkata perkara berkenaan masih belum dapat dipastikan lagi.

Saifuddin berkata modus operandi kumpulan itu menggunakan platform WhatsApp untuk menjual bahan lucah dalam kalangan lebih 700 ahli.

“Siasatan masih kita buat dan tentulah mengambil masa lebih sedikit tapi sekurang-kurangnya kita tahu modus operandinya bagaimana.

“Tujuannya apa? Ada dorongan untuk mendapatkan itu sebagai sumber pendapatan, tapi dia marketing di dalam group saja…” kata beliau.

Saifuddin pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam, memaklumkan polis menumpaskan satu kumpulan dikenali sebagai ‘Geng Budak Sekolah’, yang terlibat dalam jenayah seksual, termasuk membabitkan kes seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.