4 pegawai SPRM disoal siasat berhubung kehilangan Pamela Ling

4 pegawai SPRM disoal siasat berhubung kehilangan Pamela Ling

Kenderaan dipercayai digunakan dalam insiden tersebut dikesan di Bukit Kayu Hitam berhampiran sempadan Thailand, kata menteri KDN.

pamela ling
Pamela Ling, 42, dilaporkan hilang pada 9 April lepas ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya bagi membantu siasatan. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Polis menyoal empat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terlibat secara langsung menyiasat kes Pamela Ling, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin berkata, kenderaan yang dipercayai digunakan dalam dakwaan insiden penculikan Ling juga dikesan di Bukit Kayu Hitam, Kedah, berhampiran sempadan Thailand.

Terdahulu, Ling, 42, dilaporkan hilang pada 9 April lepas ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat SPRM bagi membantu siasatan.

Pada Mei tahun lepas, SPRM membuka kertas siasatan terhadap Ling dan suaminya, Thomas Hah, berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki sebelum ini dilaporkan berkata, Ling ialah saksi bagi siasatan kes pengubahan wang haram.

“Sehingga kini, kita telah merakam percakapan 48 saksi bagi membantu siasatan, termasuk empat pegawai SPRM yang terlibat secara langsung menyiasat Ling,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

“Kertas siasatan kini dalam proses akhir untuk dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan berhubung kesalahan menculik atau mengurung dengan salah.

Polis sebelum ini mendedahkan bahawa lima kenderaan terbabit dalam insiden itu, dengan tiga daripadanya didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Dianggarkan lapan suspek terlibat dalam insiden itu, dengan dua daripadanya dikesan memakai ves polis menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Pada Jun, peguam Ling, Sangeet Kaur Deo mendedahkan salah sebuah kenderaan yang kelihatan dalam rakaman CCTV insiden itu dikesan berhampiran sempadan Thailand.

Sangeet turut mendakwa, polis memaklumkan keluarga Ling bahawa ‘tiada sebarang penemuan’ apabila ditanya mengenai perkembangan siasatan berhubung kehilangan mangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.