Bekas menteri Sabah gagal dapat perbicaraan semula kes palsu dokumen

Bekas menteri Sabah gagal dapat perbicaraan semula kes palsu dokumen

Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa tidak berlaku sebarang ketidakadilan kerana Peter Anthony telah diberi hak untuk didengar.

peter-anthony
Bekas menteri Sabah Peter Anthony kini menjalani hukuman penjara tiga tahun atas kesalahan memalsukan dokumen. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Bekas menteri Sabah, Peter Anthony yang disabitkan atas tuduhan memalsukan dokumen gagal untuk mendapatkan perbicaraan semula selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonan semakan difailkannya pada 14 Mac lalu.

Hakim Azman Abdullah yang mempengerusikan panel tiga hakim berkata, tidak berlaku sebarang ketidakadilan berhubung laporan polis yang dibuat saksi pendakwaan, Shukur Din, yang telah dibahaskan secara meluas dalam rayuan akhir tahun lalu.

“(Peter) telah diberikan hak untuk didengar. Permohonan untuk semakan ditolak.

“Kegagalan panel rayuan terdahulu memasukkan (laporan polis Shukur sebagai bukti baharu) dalam alasan penghakiman menyeluruh tidak membawa kepada ketidakadilan,” katanya.

Turut bersidang ialah Hakim Noorin Badarudin dan Hayatul Akmal Abdul Aziz.

Pada 4 Mac, panel Mahkamah Rayuan lain menyampaikan alasan lisan penghakiman terhadap rayuan Peter.

Penghakiman penuh bertulis oleh Hakim Zaini Mazlan yang diedarkan minggu ini menjelaskan mengapa bukti baharu itu tidak membantu membebaskan Peter.

Shukur mendakwa seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mereka-reka perenggan akhir laporan polisnya bagi mengaitkan Peter dengan menggunakan nama Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk mengelirukan bekas perdana menteri Najib Razak bagi mendapatkan kontrak.

Peter berhujah bahawa laporan polis Shukur pada 9 Ogos 2018 membuktikan dia tidak bersalah dan kegagalan mendedahkannya semasa perbicaraan satu prejudis terhadap beliu.

Bekas menteri kerajaan Sabah pimpinan Warisan antara 2018 hingga 2020 itu berhujah bahawa beliau dinafikan hak untuk perbicaraan yang adil kerana tidak berpeluang menyoal balas Shukur berhubung laporan tersebut.

Mahkamah Rayuan tahun lalu membenarkan laporan polis itu dikemukakan sebagai bukti tambahan selepas Peter mendakwa hanya mengetahuinya melalui seorang rakan.

Permohonan semakan bekas presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat itu bertujuan mengetepikan sabitan Mahkamah Rayuan sebelum ini dan memohon perbicaraan semula.

Peguam Haniff Khatri Abdulla berhujah bahawa alasan penghakiman setebal 16 muka surat tidak merujuk bukti baharu itu, sebaliknya hanya disebut dalam penghakiman bertulis 24 muka surat.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah bahawa Peter gagal memenuhi ambang undang-undang bagi semakan kerana bukti tambahan itu telah diteliti sepenuhnya dalam rayuan.

“Tiada pelanggaran atau ketidakadilan yang mewajarkan permohonan ini dibenarkan,” katanya Wan Shaharuddin yang dibantu Haresh Prakash Somiah.

Peter dihukum penjara tiga tahun dan denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 2022. Beliau membayar denda itu dan kini sedang menjalani hukuman penjara.

Bekas Adun Melalap itu disabitkan kesalahan memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan di UMS 11 tahun lalu.

Ketika menjadi pengarah urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, beliau didakwa memalsukan sepucuk surat daripada pejabat timbalan naib canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan kenyataan palsu untuk tujuan penipuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.