5 didakwa guna perkataan cela terhadap Zara Qairina

5 didakwa guna perkataan cela terhadap Zara Qairina

Lima remaja perempuan dituduh ikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan, dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

zara qairina
Lima remaja didakwa dalam mencapai niat bersama, menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Lima remaja didakwa di Mahkamah Kanak-kanak di Kota Kinabalu, Sabah atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina Mahathir, yang meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran sekolahnya.

Pertuduhan terhadap lima perempuan berkenaan dikemukakan mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Mereka didakwa dalam mencapai niat bersama, menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina, 13, yang mana perkataan tersebut didengari oleh mangsa yang mungkin menyebabkan pelajar itu terganggu dengan perkataan tersebut.

Kelima-lima pelajar didakwa melakukan perbuatan itu di blok Asrama Rabiatul Adawiyah Dorm A-3-6, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha Limauan WDT 15, Papar antara jam 10 malam dan 11 malam, pada 15 Julai lepas.

Kes disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus, dalam prosiding yang dijalankan secara tertutup, lapor Bernama.

Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan pihaknya meneliti kertas siasatan kes kematian Zara Qairina, dan memutuskan untuk menuduh beberapa suspek berdasarkan keterangan yang ada.

AGC turut memaklumkan prosiding inkues masih perlu dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian Zara Qairina. Mahkamah Koroner menetapkan 3 Sept untuk memulakan prosiding inkues.

AGC memutuskan untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca dan sebab kematian pelajar itu selepas meneliti laporan siasatan.

Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran asrama sekolah itu pada pagi 16 Julai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.