Terrirudin ada kewajipan berlaku jujur dedah titah adendum, mahkamah diberitahu

Terrirudin ada kewajipan berlaku jujur dedah titah adendum, mahkamah diberitahu

Mahkamah Tinggi tetap 4 Sept putus permohonan Naib Razak mula prosiding hina mahkamah terhadap bekas peguam negara.

Ahmad Terrirudin Mohd Salleh
Hakim Mahkamah Persekutuan Terrirudin Salleh berkhidmat sebagai peguam negara dari September 2023 hingga November 2024.
KUALA LUMPUR:
Peguam kanan Shafee Abdullah berhujah bekas peguam negara, Terrirudin Salleh, gagal mendedahkan kewujudan titah adendum berkait Najib Razak walaupun mempunyai kewajipan untuk berlaku jujur kepada mahkamah.

Shafee memberitahu Mahkamah Tinggi, Terrirudin melakukan tindakan menghina mahkamah kerana mempunyai pengetahuan peribadi mengenai titah itu, setelah ia diserahkan kepadanya ketika menjawat jawatan peguam negara dari September 2023 hingga November 2024.

“Responden gagal mendedahkan kewujudan pada peringkat penting prosiding dan dengan sengaja mengelirukan mahkamah melalui peguam persekutuan, sedangkan beliau mempunyai kewajipan untuk berlaku jujur dengan mendedahkan titah itu,” katanya.

Peguam Najib menambah bahawa tanggungjawab untuk berlaku jujur terpakai dengan lebih ketat terhadap Terrirudin berbanding orang lain.

Beliau berhujah demikian ketika membentangkan permohonan Najib untuk mendapat kebenaran memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Terrirudin.

Kewajipan berlaku jujur (duty of candour) menuntut pihak-pihak mendedahkan semua maklumat serta fakta berkaitan, termasuk yang boleh melemahkan kes mereka.

Menurut Shafee, Terrirudin mengelirukan perkara itu dengan menyampaikan hujahan menerusi peguam persekutuan berhujah bahawa afidavit Najib mengenai titah tersebut hanyalah ‘spekulasi’ dan berdasarkan ‘khabar angin’.

Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan berhujah bahawa Najib gagal memenuhi syarat asas untuk memulakan prosiding penghinaan.

“Tiada bukti bahawa responden melakukan perbuatan menghina mahkamah seperti didakwa,” katanya.

Beliau berkata, bekas peguam negara tidak terikat dengan kewajipan berlaku jujur di peringkat permohonan kebenaran semakan kehakiman, dan tidak boleh dipersalahkan kerana tidak mengesahkan atau mengemukakan titah itu.

Shamsul juga berhujah kelewatan 13 bulan dalam memfailkan permohonan adalah tidak wajar dan menjadikan tindakan Najib tidak dapat dipertahankan.

Hakim Loke Yee Ching menetapkan 4 Sept untuk menyampaikan keputusan permohonan itu.

Pada 13 Ogos, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan majoriti Mahkamah Rayuan yang mengarahkan Mahkamah Tinggi mendengar permohonan semakan kehakiman Najib serta membenarkan beliau mengemukakan bukti tambahan berkaitan titah addendum.

Semalam, Mahkamah Tinggi sama menetapkan 19 Sept untuk mendengar permohonan Najib membentangkan bukti tambahan dalam semakan kehakimannya, bagi menguatkuasakan titah itu yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara bawah tahanan rumah.

Najib disabitkan kesalahan menyalahgunakan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd dan menjalani hukuman penjara sejak 23 Ogos 2022 di Penjara Kajang.

Beliau memfailkan petisyen pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.

Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kemudian mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun serta mengurangkan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.