Shahelmey akui ‘pintu BN tertutup’, timbang tanding bawah GRS

Shahelmey akui ‘pintu BN tertutup’, timbang tanding bawah GRS

Timbalan Ketua Menteri Sabah Shahelmey Yahya berkata keputusan akhir akan dibuat selepas mendengar pandangan pengundi Tanjung Keramat.

Ahad lalu Pengerusi GRS Hajiji Noor membayangkan Shahelmey Yahya mungkin bertanding bawah tiket GRS untuk pertahan DUN Tanjung Keramat.
KUALA LUMPUR:
Shahelmey Yahya akan meneliti pandangan pengundi di DUN Tanjung Keramat dalam menentukan hala tuju politiknya termasuk bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN.

Ahad lalu, Pengerusi GRS Hajiji Noor membayangkan Shahelmey mungkin bertanding bawah tiket gabungan itu dan yakin kemampuannya mempertahankan kerusi dimenangi atas tiket Barisan Nasional (BN), lima tahun lalu.

Bercakap kepada FMT, timbalan ketua menteri Sabah berkata beliau meneliti segala tawaran selepas merasakan pintunya bertanding sebagai calon BN seolah-olah tertutup.

“Saya perlu dengar juga rakyat di kawasan kerana yang mengundi ada pengundi di kawasan Tanjung Keramat, ada juga jentera untuk mendengar pendapat mereka.

“Jika meyakinkan kita akan buat keputusan,” katanya ketika ditemui di Parlimen.

Beliau berkata, tiada perbincangan dengan BN Sabah dan Pengerusi Zahid Hamidi, malah Ketuanya, Bung Moktar Radin juga mengumumkan Pengarah Jentera Pilihan Raya Umno Sabah Jeffrey Nor Mohamed sebagai calon menggantikan Shahelmey di DUN Tanjung Keramat.

“(Seolah-olah) Dah tutup pintu.”

Umno menggantung keahlian Shahelmey selama enam tahun sejak Mac 2023 kerana tidak mengikut ketetapan parti dalam usaha menjatuhkan Hajiji, yang juga ketua menteri Sabah dalam Langkah Kinabalu.

Menurutnya, pertimbangan untuk bertanding pada PRN juga berkait dengan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Putatan yang mungkin terlucut jika bertanding atas tiket parti selain BN.

“Perkara itu agak teknikal, nanti saya akan buat keputusan,” katanya.

Mengikut undang-undang antilompat parti, Shahelmey dikatakan bakal hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Putatan jika bertanding atas tiket GRS pada PRN memandangkan kerusi itu dimenangi atas tiket BN pada PRU15.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.