Sertai, daftar segera Larian Keluarga Malaysia edisi kedua

Sertai, daftar segera Larian Keluarga Malaysia edisi kedua

Program amal itu dijadual berlangsung pada 15 Nov di Padang Merbok, Kuala Lumpur.

Ismail Sabri
Ismail Sabri Yaakob meninjau laluan untuk edisi kedua Larian Keluarga Malaysia (LKM) 2025 di Padang Merbok, Kuala Lumpur. (Gambar Yayasan Keluarga Malaysia)
PETALING JAYA:
Edisi kedua Larian Keluarga Malaysia (LKM) 2025 yang menyasarkan penyertaan kira-kira 3,000 peserta akan diadakan pada 15 Nov di Padang Merbok, Kuala Lumpur.

Pengerusi Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) Ismail Sabri Yaakob berkata acara itu bukan sahaja menjadi platform bersukan tetapi inisiatif mengumpul dana membantu kira-kira 1,000 anak yatim yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.

Menurutnya, sumbangan akan digunakan untuk bantuan bulanan RM200 kepada anak yatim berusia 16 tahun ke bawah manakala RM250 untuk individu 17 tahun sehingga tamat pengajian ijazah pertama.

“YKM memerlukan sekitar RM5 juta setahun bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara berterusan kepada anak-anak yatim sehingga mereka dewasa,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, bekas perdana menteri terbabit mengajak orang ramai menyokong program amal berkenaan selain menggalakkan gaya hidup sihat.

“Pada masa sama, pihak korporat dialu-alukan tampil sebagai penaja LKM 2025 sekali gus memperkukuh peranan sektor swasta dalam mengangkat agenda tanggungjawab sosial korporat (CSR),” katanya.

Setiap sumbangan korporat kepada LKM 2025 layak mendapat pengecualian cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Program itu meliputi tiga kategori iaitu Family Run (3km), Fun Run (5km) dan Road Race (10km) dengan tawaran harga menarik di antara RM40 hingga RM70 untuk tempahan awal sehingga 31 Ogos.

Orang ramai boleh melayari pautan ini atau ikuti saluran media sosial Larian Keluarga Malaysia.

Peserta juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik menerusi cabutan bertuah yang akan memeriahkan lagi acara berkenaan.

Pada edisi pertama LKM tahun lalu, hampir 5,000 peserta daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang politik turut mengambil bahagian.

Antaranya bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, serta atlet dan bekas atlet negara termasuk Goh Liu Ying, Santokh Singh, K Rajagobal, Abdul Malek Mohamed Noor dan Zainal Abidin Hassan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.