
Dalam kenyataan, SKMM berkata pihaknya berjaya mengenal pasti individu di sebalik akaun TikTok ‘Dato Prof Dr Tunku Iskandar’ yang dikesan berdekatan Kota Damansara lewat malam semalam.
“Suspek kemudian dibawa ke IPD Dang Wangi untuk proses rakaman keterangan. Peralatan komunikasi miliknya turut dirampas bagi tujuan analisis siasatan lanjut,” katanya.
Katanya, Kementerian Kesihatan juga mengesahkan suspek bukan pakar patologi.
Menurutnya, hasil maklumat daripada rakaman keterangan, dua individu turut bersama dalam sesi ‘TikTok live’ akaun berkenaan.
“SKMM menegaskan penyebaran maklumat palsu, khususnya melibatkan isu sensitif berkaitan kematian, tragedi atau mangsa nahas, adalah kesalahan serius yang boleh menyinggung perasaan keluarga, mengelirukan masyarakat serta mengganggu proses siasatan pihak berkuasa.
“Kes ini disiasat SKMM bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). Kertas siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan selanjutnya.
“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Menurut kenyataan, kes juga disiasat polis bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan.