
Hamid Ismail berkata, pihaknya memohon penangguhan sementara bagi membolehkan tuduhan lebih berat dikenakan terhadap semua suspek.
Katanya, pihaknya dimaklumkan kelima-lima remaja berkenaan akan didakwa bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan kerana membuli.
“Kami baru mengetahui bahawa lima remaja tersebut akan didakwa bawah seksyen berkenaan. Kami dengan ini memohon agar peguam negara menangguhkan pendakwaan itu sementara waktu.
“Kami berharap mereka dituduh bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman lebih berat. Jika keterangan sedia ada belum mencukupi, siasatan lanjut perlu dilakukan bagi membolehkan pendakwaan dijalankan mengikut peruntukan itu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, jika pendakwaan bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan diteruskan dan semua tertuduh mengaku bersalah, sebarang penemuan baharu hasil inkues atau siasatan lanjut tidak lagi boleh digunakan untuk mendakwa mereka dengan kesalahan lebih berat.
“Kami sangat khuatir jika pendakwaan diteruskan, perkara ini akan terhalang oleh prinsip ‘double jeopardy’ yang termaktub di dalam Artikel 7(2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Hamid berkata, pihaknya sudah menghantar surat rasmi kepada peguam negara pagi ini melalui emel bagi memohon pertimbangan semula terhadap bentuk pertuduhan akan dikenakan.
Semalam, Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar dilaporkan berkata, lima remaja perempuan akan dituduh di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu esok berhubung kes melibatkan Zara yang meninggal dunia bulan lalu.
“Semua mereka akan didakwa bagi kesalahan membuli,” katanya.
Katanya, prosiding akan dijalankan secara tertutup memandangkan semua suspek berusia bawah 18 tahun.
Zara, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.
Pada 9 Ogos, jenazahnya digali semula berikutan arahan AGC yang berpendapat siasatan lanjut lebih menyeluruh perlu dijalankan.
Bedah siasat selesai dilaksanakan di HQE I pada hari berikutnya dan jenazahnya dikebumikan semula pada hari sama.