Jenayahkan ucapan menyinggung dalam talian tak berperlembagaan, putus mahkamah

Jenayahkan ucapan menyinggung dalam talian tak berperlembagaan, putus mahkamah

Mahkamah Rayuan kata perkataan ‘menyinggung’ dan ‘menjelikkan’ dalam versi lama Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bukan sekatan yang sah.

Court of Appeal Mahkamah rayuan
Mahkamah Rayuan memutuskan perkataan ‘menyinggung’ dan ‘menjelikkan’ dalam versi terdahulu Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 melanggar Perlembagaan Persekutuan.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan sebulat suara memutuskan bahawa perkataan ‘menyinggung’ dan ‘menjelikkan’ dalam versi terdahulu Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang menjadikan penghantaran komen menyinggung secara dalam talian sebagai satu kesalahan, adalah tidak berperlembagaan.

Hakim Lee Swee Seng berkata perkataan itu melanggar Perkara 10(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama Perkara 8.

Beliau juga berkata pendakwaan kerana menjelikkan atau menyinggung pihak ketiga tidak boleh ditafsirkan sebagai tindakan menjejaskan ketenteraman awam.

“Kami mendapati perkataan yang dipersoalkan iaitu ‘menyinggung’ dan ‘menjelikkan’ bukanlah sekatan yang dibenarkan terhadap kebebasan bersuara di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, kami membatalkan peruntukan tersebut sebagai satu kesalahan (yang bercanggah dengan perlembagaan),” katanya ketika membenarkan sebahagian rayuan aktivis Heidy Quah bagi membatalkan versi terdahulu Seksyen 233.

Turut mendengar rayuan ialah Hakim Hashim Hamzah dan Hakim Azman Abdullah.

Panel tidak membuat sebarang perintah berhubung kos kerana isu yang diputuskan adalah berkaitan perlembagaan.

Lee, yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan, berkata keputusan itu hanya mempunyai kesan prospektif, bermakna pihak yang masih berdepan prosiding jenayah di bawah versi lama seksyen itu boleh menyerahkan kepada hakim perbicaraan untuk membuat keputusan.

Parlimen tahun lalu meluluskan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan memasukkan perkataan ‘sangat menyinggung’ sebagai kesalahan. Pindaan itu berkuat kuasa Februari lalu.

Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin mewakili kerajaan, manakala peguam Malik Imtiaz Sarwar, A Surendra dan New Sin Yew mewakili Quah.

Peguam Lim Wei Jiet hadir sebagai pemerhati bagi Clooney Foundation for Justice dan Suaram.

Hakim turut mengarahkan Liew memfailkan permohonan rasmi bagi menangguhkan keputusan tersebut sementara menunggu kerajaan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Beliau juga menambah bahawa Seksyen 233 akta itu tidak memberikan tafsiran jelas mengenai apa yang dianggap menyinggung atau apa yang boleh dikatakan berniat menjelikkan.

Katanya, kebebasan bersuara akan terhalang kerana kesalahan di bawah Seksyen 233 membawa denda sehingga RM50,000, hukuman penjara maksimum setahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan.

Beliau menyifatkan hukuman itu tidak seimbang dengan tujuan penggubalan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Seksyen 233(1)(a) akta itu sebelum ini menjadikan satu kesalahan bagi mana-mana individu membuat, mencipta, merayu atau memulakan penghantaran komen dalam talian yang ‘lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam atau menjelikkan/menyinggung’ dengan ‘niat untuk menghina, mengugut atau mengganggu orang lain’.

Tindakan sivil Quah, pengasas Refuge for Refugees, mencabar kesahihan perkataan ‘menyinggung’ dan ‘menjelikkan’ dalam peruntukan itu.

Pada Julai 2021, Quah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana memuat naik komen menyinggung di Facebook yang menyorot dakwaan layanan buruk terhadap pelarian di pusat tahanan imigresen.

Pada April 2022, mahkamah membenarkan beliau dilepas tanpa dibebaskan selepas hakim menerima bantahan awal bahawa pertuduhan itu cacat kerana tidak menepati kehendak Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau kemudian memfailkan tindakan sivil untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa perkataan ‘menyinggung’ dan menjelikkan’ dalam peruntukan itu tidak sah dan bercanggah dengan dua hak asasi yang dijamin perlembagaan.

Namun, saman beliau ditolak Mahkamah Tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.