Jangan sampai kerajaan rugi kerana ‘jurujual’ dalam kementerian, kata pakar

Jangan sampai kerajaan rugi kerana ‘jurujual’ dalam kementerian, kata pakar

Pakar ulas teguran Sultan Ibrahim mengenai kewujudan 'ejen' atau 'jurujual' di Kementerian Pertahanan dorong pembelian aset kurang berkualiti.

Sabtu lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim titah Kementerian Pertahanan batal cadangan pembelian helikopter Black Hawk berusia 30 tahun.
PETALING JAYA:
Teguran Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berhubung wujudnya ramai ‘jurujual’ di Kementerian Pertahanan ekoran cadangan pembelian helikopter Black Hawk berusia lebih 30 tahun perlu ditangani dengan segera tanpa campur tangan ghaib orang politik.

Penasihat undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Salawati Mat Basir mengingatkan semua pihak agar telus supaya kerajaan tidak rugi berbilion ringgit kerana ada pihak mengambil untung atas angin.

“Kementerian Pertahanan tidak boleh berpanjangan begini kerana Malaysia jelas ketinggalan jauh berbanding negara Asean yang lain dalam permodenan aset pertahanan.

“Contoh paling epik ialah kehilangan RM7 bilion dalam jual beli projek kapal tempur pesisir (LCS),” katanya kepada FMT.

Sabtu lalu, Sultan Ibrahim menitahkan Kementerian Pertahanan agar membatalkan cadangan pembelian helikopter Black Hawk lama itu.

“Ini semua berlaku kerana di Kementerian Pertahanan penuh dengan ‘ejen’ atau bekas jeneral yang menjadi ‘salesman’, malah ada syarikat penjual kain pun masuk hendak jual ‘drone’,” titah baginda dalam catatan Facebook.

Menurut baginda, peruntukan sedia ada tidak akan mencukupi jika semua perolehan mengikut harga orang tengah.

Sementara itu, penganalisis pertahanan Lam Choong Wah daripada Universiti Malaya (UM) berkata, amalan bekas pegawai Kementerian Pertahanan menjadi ejen atau jurujual bagi syarikat swasta sudah wujud berpuluh-puluh tahun.

Katanya, perkara ini berlaku kerana syarikat swasta menjual kelengkapan pertahanan itu memerlukan ejen yang faham sistem pertahanan dan keperluan kementerian.

“Tetapi paling penting, mereka kenal pegawai bertanggungjawab atas perolehan,” katanya.

“Kadangkala ejen ini pun digelar sebagai ‘cableman’ di Kementerian Pertahanan. Memandangkan mereka bekas pegawai kanan, maka tak hairanlah mereka boleh jalin hubungan rapat dengan pegawai kanan sedia ada.”

Sementara itu, Lam mencadangkan kerajaan menggubal undang-undang agar ejen-ejen sedemikian tidak lagi boleh wujud di kementerian.

“Cadangan ini boleh dikuatkuasakan melalui penetapan peraturan atau penggubalan undang undang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.