
Bendahari Pemuda DAP Sarawak Wong King Yii mengingatkan langkah itu boleh melahirkan budaya berdiam diri semata-mata untuk mendapatkan insentif.
Beliau bimbang sekolah akan menutup kes buli sebaliknya daripada menanganinya dengan betul.
Wong berkata inisiatif itu tidak akan membantu memulihkan keyakinan pelajar, sebaliknya hanya menambahkan ketakutan, membisukan mangsa serta menguatkan lagi pengaruh pembuli.
“Pelajar sudah banyak hilang keyakinan terhadap sistem sekolah yang sepatutnya melindungi mereka sejak awal lagi. Untuk berpura-pura bahawa sifar kes dilaporkan sama dengan keselamatan adalah menafikan pengalaman ramai mangsa.
“Dasar ini akan menekan sekolah untuk menindas aduan bukannya menyelesaikannya, semata-mata demi melindungi ‘rekod sempurna’,” katanya dalam kenyataan.
Wong menggesa kementerian mengambil tindakan terhadap laporan buli yang dikemukakan melalui portal Aduan Buli dan agar polis dipanggil untuk kes melibatkan serangan fizikal.
Beliau turut mencadangkan supaya pelajar yang menjadi mangsa buli diberi hak untuk berpindah ke sekolah lain.
Ahad lalu, Fadhlina dilaporkan berkata beliau akan memberikan insentif kepada sekolah jika ia berjaya mencapai rekod “sifar buli”.
Langkah itu menyusul selepas beberapa kes buli di sekolah, termasuk kematian pelajar Tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu Dewan Rakyat semalam siasatan ke atas kematian Zara mendedahkan unsur buli, pengabaian dan gangguan seksual.
Minggu lalu, Kementerian Pendidikan berkata ia akan menilai semula SOP berkaitan keselamatan sekolah dan pengurusan isu disiplin termasuk buli, manakala portal Aduan Buli akan ditambah baik supaya membolehkan laporan dibuat secara tanpa nama.