
Mohd Murshid Arshad dari Universiti Putra Malaysia (UPM) menyifatkan pendirian Kementerian Belia dan Sukan yang tetap mahu menurunkan had usia itu mulai 1 Jan 2026 sebagai langkah tepat untuk melahirkan pemimpin berkualiti untuk masa depan negara.

Menurutnya, selain memberikan tempoh transisi lebih panjang bagi pembinaan kerjaya dan pengukuhan kepimpinan, pendekatan itu juga dapat membantu mempercepatkan kematangan belia yang didedahkan lebih awal dalam kepimpinan serta pembabitan aktif dalam komuniti.
“Walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mentakrifkan belia sebagai 15–24 tahun, penyesuaian Malaysia sehingga 30 tahun selaras dengan realiti sosioekonomi dan amalan antarabangsa.
“Ia membolehkan golongan belia memanfaatkan fasa peralihan ke dewasa awal secara optimum, dengan sokongan dasar dan program pembangunan relevan,” kata pensyarah pembangunan belia di Fakulti Pengajian Pendidikan dan Pengarah Pusat Kokurikulum & Pembangunan Pelajar UPM itu kepada FMT.
Bulan lalu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menegaskan kerajaan kekal dengan pendirian untuk menurunkan had usia belia kepada 30 tahun bermula 1 Jan 2026 selaras dengan pindaan yang diluluskan Parlimen pada 2019.
Mengikut Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019, had usia belia ketika ini ditetapkan antara 15 hingga 40 tahun.
Bagaimanapun, Majlis Belia Malaysia (MBM) mendakwa langkah itu bakal menyaksikan 90% pertubuhan belia berisiko dibatalkan kerana gagal mematuhi akta terbabit.
Dilaporkan Berita Harian, Presidennya Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata keadaan itu disebabkan kira-kira 10% daripada 8,272 pertubuhan belia di seluruh negara telah meminda perlembagaan masing-masing seperti diminta, manakala hanya 54% kepimpinan pertubuhan belia dianggotai individu berusia 30 tahun ke bawah.

Sementara itu, bekas ketua penerangan Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Khairul Muzammil Eshak mempersoalkan gesaan untuk menangguhkan pelaksanaan penetapan had usia belia itu dengan memberi hujah lapuk.
Khairul, yang berpengalaman hampir dua dekad dalam persatuan belia, berkata usaha untuk menurunkan had usia kepimpinan daripada maksimum 40 tahun kepada 30 tahun telah lama bermula.
“Jadi saya hairan mengapa isu ini dibangkitkan lagi, sedangkan pelbagai program telah diadakan dengan peruntukan kerajaan bagi menjayakannya,” katanya.
Menurut Khairul, banyak negara maju termasuk Singapura dan Korea Selatan telah menurunkan had usia belia kepada 25 hingga 30 tahun, mengambil kira faktor semasa termasuk proses pendewasaan lebih cepat didorong perkembangan teknologi.
“Ia harus dimanfaatkan dengan membabitkan mereka dalam persatuan belia bagi mendedahkan kepada pelbagai aspek kehidupan, termasuk bakat kepimpinan untuk masa depan.
“Tetapi yang menjadi masalah, ada dalam kalangan mereka tidak berminat kerana tiada ruang disebabkan ‘orang lama’ berusia lebih 30 tahun enggan melepaskan jawatan,” katanya.