
Titah Sultan Kedah, warga sekolah dan masyarakat sepatutnya memilih membina budaya kasih sayang, saling hormat-menghormati, dan menolak segala bentuk amalan yang tidak berakhlak.
“Marilah kita membina budaya kasih sayang, hormat menghormati dan menolak segala bentuk perbuatan dan amalan yang tidak berakhlak seperti membuli sama ada secara fizikal atau emosi yang membawa kemudaratan dan masalah kepada semua pihak,” titah baginda menurut Berita Harian.
Sultan Sallehuddin bertitah ketika merasmikan Majlis Haflu Takrim Lembaga Maktab Mahmud 2025, Alor Setar.
Baginda turut mengingatkan tanggungjawab mendidik anak di sekolah tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu pihak pengurusan dan guru sahaja.
Baru-baru ini, timbul spekulasi mengenai pelajar sekolah agama Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir yang disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu, selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asramanya, di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.
Mayat terpaksa digali semula bagi proses bedah siasat, sebelum Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan dilakukan inkues berkait kematiannya yang didakwa menjadi mangsa buli.
Esok, lima remaja perempuan akan dituduh di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu bagi kesalahan membuli dengan Mahkamah Koroner Kota Kinabalu menetapkan prosiding inkues kes kematian Zara ditetapkan bermula 3 Sept ini.
Hari ini, dilaporkan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail bertitah supaya gejala buli perlu dibendung dengan langkah penguatkuasaan lebih ketat.
Titah baginda, perkara itu perlu dilakukan dengan kadar segera bagi memastikan setiap institusi pendidikan menjadi kawasan selamat bagi kanak-kanak.
Baginda bertitah selepas berangkat melawat Izzul Islam Azuan Isaidi, 10, di Hospital Pakar Puteri KPJ, Johor Bahru, yang dilapor menjadi mangsa buli dan mengalami gegaran otak.