Bantuan, peruntukan untuk masyarakat India menyeluruh, kata Anwar

Bantuan, peruntukan untuk masyarakat India menyeluruh, kata Anwar

Perdana menteri berkata ia disalurkan menerusi pelbagai kementerian dan bukan hanya tertumpu kepada Mitra semata-mata.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim bernama pic 19825
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata ada program lain dengan peruntukan besar di bawah pelbagai kementerian lain untuk masyarakat India selain peruntukan tahunan RM100 juta kepada Mitra. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Peruntukan dan bantuan yang disediakan untuk masyarakat India disalurkan secara menyeluruh menerusi pelbagai kementerian dan tidak hanya tertumpu pada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) semata-mata, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata terdapat program lain dengan peruntukan besar disediakan di bawah pelbagai kementerian lain yang memberi manfaat kepada kaum itu dalam bidang pendidikan, perumahan dan perniagaan, di samping peruntukan tahunan khusus RM100 juta kepada Mitra.

Perdana menteri berkata sebagai contoh, pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi masyarakat India pada 2022 adalah setengah bilion ringgit, manakala untuk 2025 sudah mencecah RM1 billion, sementara skim Jaminan Kredit Perumahan dengan RM1.2 bilion turut disediakan bagi kaum itu.

“Pada 2024, daripada RM100 juta di Mitra, RM98.9 juta telah dibelanjakan dengan memberi manfaat kepada 122,082 masyarakat India.

“Bantuan berikutnya, subsidi pendidikan awal RM93 juta, bantuan pengajian tinggi untuk masyarakat India B40 (RM17.63 juta), bantuan komputer riba untuk SJKT (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil) sebanyak RM2.99 juta melibatkan 6,000 unit komputer secara berperingkat.

“Justeru, pandangan yang mengatakan kerajaan seolah-olah (kaum India) tidak dipedulikan, peruntukan untuk Mitra tidak diluluskan dengan segera, adalah tidak benar,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Perdana menteri berkata demikian bagi menjawab soalan S Kesavan (PH-Sungai Siput) berhubung fokus kerajaan Madani melalui Mitra atau lain-lain agensi dalam usaha membangunkan sosioekonomi masyarakat India secara menyeluruh.

Anwar berkata bagi 2025, pendekatan yang digunakan kerajaan bagi penyaluran bantuan kepada masyarakat itu berbeza, dengan penyelarasan yang lebih baik melibatkan setiap kementerian dan Mitra.

Bagi projek perumahan masyarakat India di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) misalnya, beliau berkata dana tambahan daripada Mitra akan diselaraskan untuk menampung kekurangan.

“Jadi kalau KPKT belanja RM20 juta, tambah RM5 juta (dana Mitra) untuk diselaraskan, bantuan peralatan makmal ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) di 50 SJKT dapat RM5 juta daripada Kementerian Pendidikan dan sebahagian dari Mitra.

“Sebanyak 200 rumah ibadat Hindu ataupun kuil Hindu berdaftar sebagai Pusat Komuniti Setempat seluruh negara dengan peruntukan RM20 juta, selain bantuan one-off pembaikan dan penyelenggaraan kecil rumah kediaman Pekerja Ladang India RM10 juta dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.