Ahli Parlimen PKR persoal matlamat gabungan 11 parti pembangkang

Ahli Parlimen PKR persoal matlamat gabungan 11 parti pembangkang

Ahli Parlimen Sungai Petani Taufiq Johari berkata selain PAS dan Bersatu, gabungan itu hanya merangkumi parti-parti kecil.

taufiq johari
Ahli Parlimen Sungai Petani Taufiq Johari mempersoalkan sama ada gabungan itu benar-benar sebuah kerjasama yang mewakili rakyat atau sekadar percubaan terdesak oleh parti-parti terpinggir. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen PKR Sungai Petani, Taufiq Johari mempersoalkan matlamat parti-parti pembangkang yang merancang menubuhkan satu gabungan longgar untuk ‘mencari salah kerajaan’ dan memperjuangkan isu rakyat.

Taufiq berkata penelitian terhadap komposisi gabungan itu menunjukkan bahawa selain PAS dan Bersatu, ia hanya merangkumi ‘parti-parti kecil yang mempunyai sedikit atau tiada langsung wakil rakyat’.

Gabungan itu, menurut Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, turut melibatkan Gerakan, Pejuang, Muda, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Putra, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Kemajuan Malaysia (MAP) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

“Ini menimbulkan persoalan sama ada ia benar-benar sebuah kerjasama yang mewakili rakyat atau sekadar percubaan terdesak oleh parti-parti terpinggir,” kata Taufiq dalam satu kenyataan.

Beliau turut mempersoalkan sama ada gabungan itu akan mengubah nasib parti-parti yang sebelum ini hilang wang deposit dalam pilihan raya.

“Saya juga tidak fikir dengan penglibatan parti-parti kecil ini akan menjadikan PAS lebih mudah diterima oleh rakan-rakan kita di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Taufiq juga berkata beliau tidak sabar melihat bagaimana parti-parti terlibat dalam gabungan itu akan menjelaskan kerjasama tersebut kepada penyokong tegar mereka.

“Pasti menarik untuk melihat apakah persamaan yang ada pada mereka selain daripada keinginan untuk berbalah dengan pentadbiran Madani.”

Muhyiddin mengumumkan penubuhan gabungan longgar itu selepas mempengerusikan mesyuarat bersama parti-parti terbabit malam tadi.

Beliau berkata nama gabungan itu akan diumumkan kelak pada mesyuarat akan datang. Katanya, ia bersifat ‘longgar’ iaitu bukan gabungan politik berdaftar secara rasmi.

Menurutnya, ia ditubuhkan bagi mengumpulkan pimpinan pelbagai parti sama ada dalam atau luar Perikatan Nasional untuk membincangkan isu utama negara dan mencari penyelesaian demi kepentingan rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.