
Norazlinah yang telah melantik peguam bagi proses itu berkata, beliau memilih berdiam diri selama ini terhadap tohmahan dilemparkan kerana enggan membuang masa dengan urusan turun naik mahkamah.
Katanya, beliau juga mahu fokus kepada keutamaan melaksana tugas serta amanah kepada masyarakat Kunak yang diwakili sejak 2018.
“Namun, kali ini saya tidak boleh berkompromi apabila fitnah keterlaluan dibuat telah melibatkan ahli keluarga saya,” katanya dalam kenyataan.
Sabtu lalu, ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah Kunak itu menafikan tuduhan dalam satu video tular di TikTok yang mendakwa beliau dan suaminya menerima sumbangan daripada kartel dadah di Sabah.
Norazlinah yang sebelum ini bersama Warisan berkata, tuduhan itu tidak benar dan fitnah berniat jahat yang cuba mencemar nama baiknya.
Semakan FMT juga mendapati video berkenaan tidak lagi boleh diakses di TikTok.
Mengulas lanjut, Norazlinah menegaskan pihak yang tidak senang dengan kenyataan mengkritik Warisan sebelum ini perlu menjawab dengan fakta bukan memfitnah.
“Lebih buruk lagi, mereka turut memilih jalan pengecut dengan melakukan serangan buli siber.
“Mulai saat ini, segala urusan berkaitan fitnah itu akan saya serahkan sepenuhnya kepada barisan peguam untuk tindakan undang-undang sewajarnya,” katanya.