
Jumlah itu lebih tinggi berbanding Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang mencatat 607 dikecualikan cukai sebelum sistem percukaian itu dimansuhkan pada 2018.
Perdana menteri berkata barangan dikecualikan daripada SST dan GST ini merangkumi pelbagai barangan keperluan asas dan barangan banyak digunakan rakyat seperti makanan mentah atau belum diproses seperti ayam, lembu, kambing, ikan, sayur-sayuran, buah-buahan tempatan dan beras.
Jelas Anwar, turut dikecualikan barangan makanan diproses seperti tepung, gula, garam, roti putih, susu dan minyak masak sawit, ubatan dan peranti perubatan serta bahan bacaan.
“SST turut mengecualikan makanan ternakan dan peliharaan, bahan asas pembinaan, baja, racun, serta jentera pertanian dan penternakan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan R Yuneswaran (PH–Segamat) yang meminta penjelasan mengenai jumlah serta kategori barangan dikecualikan daripada SST pada 2025 berbanding GST.
Anwar berkata cukai perkhidmatan pula dikenakan ke atas 70% daripada bilangan perkhidmatan dalam ekonomi, berbanding 76% di bawah GST berdasarkan kod dalam Malaysia Standard Industrial Classification (MSIC).
Menurutnya, antaranya perkhidmatan asas dikecualikan cukai turut meliputi bas sekolah, bas ekspres, LRT, kereta api, feri, perkhidmatan udara luar bandar di Sabah dan Sarawak dan perkhidmatan telekomunikasi prabayar
Anwar berkata kerajaan komited dan berhati-hati dalam melaksanakan peluasan SST yang dilakukan secara bersasar dan progresif, dengan mengambil kira impak terhadap kos sara hidup rakyat.
“Kerajaan juga menyediakan kemudahan lebih praktikal dan menyeluruh bagi mengurangkan kesan cukai berganda dan kos sara hidup, di samping menjana pertumbuhan ekonomi mampan.
“Jumlah pengecualian barangan lebih banyak dan skop perkhidmatan lebih rendah di bawah SST berbanding GST menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam menjaga kesejahteraan rakyat, serta memastikan kemampanan fiskal negara yang lebih kukuh selaras dengan teras Kerangka Ekonomi Madani,” katanya.
Kerajaan meluaskan skop SST mulai 1 Julai lalu yang dianggarkan mampu menambah hasil RM5 bilion pada separuh tahun ini manakala RM10 bilion pada 2026.