
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook menyifatkan cadangan membina laluan rel rentas laut sebagai tidak masuk akal kerana kos amat tinggi dan jarak yang jauh.
Beliau memaklumkan Dewan Rakyat bahawa jarak Kuala Kedah-Langkawi adalah kira-kira 50km, manakala dari Kuala Perlis-Kuah sekitar 30km.
“Nak buat LRT dari Kuala Kedah atau Kuala Perlis ke Langkawi itu tidak begitu masuk akal.
“Bayangkan nak bina jambatan rel sepanjang 30km dari Kuala Perlis ke Langkawi, itu sudah tentu memerlukan perbelanjaan besar,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Loke memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan akan menambah baik kemudahan pengangkutan laut dari jeti Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke Langkawi.
“Kita ada cadangan lain untuk meningkatkan kesalinghubungan antara Kuala Kedah, Kuala Perlis dan Langkawi. Antaranya, kita sedang meneliti pengenalan feri yang lebih moden dan selesa untuk tujuan tersebut,” katanya.
Suhaimi Abdullah (PN–Langkawi) di Dewan Rakyat minggu lalu sekali lagi mencadangkan pembinaan laluan LRT atau MRT ke Langkawi, selepas cadangan awal pada 19 Sept 2023 ditolak Loke.
Loke ketika itu berkata cadangan terbabit mungkin sukar kerana merentasi lautan, dan Kementerian Pengangkutan belum menerima permohonan kerajaan Kedah untuk membina LRT di Langkawi.