
Beliau juga menjangkakan bacaan kedua dan ketiga RUU itu dibuat dalam persidangan kali ini.
“Bacaan pertama dijangka Khamis ini,” katanya kepada FMT.
RUU itu asalnya dijadual dibentang pada sesi Parlimen Julai lalu.
Bagaimanapun, persidangan ditangguhkan atas permohonan kerajaan antaranya untuk menyediakan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Mesyuarat kedua penggal keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat dijadual pada 21 Julai hingga 28 Ogos.
RUU itu digembar-gemburkan sebagai perlu untuk menggantikan undang-undang dan peraturan lapuk mengenai pembangunan semula kawasan bandar yang usang.
Akta Hakmilik Strata sekarang memerlukan resolusi sebulat suara pemilik sebelum hak milik strata yang dikeluarkan mengenai sesebuah bangunan yang dipecah bahagi boleh ditamatkan.
PSB mahu menurunkan ambang persekutuan pemilik strata daripada 100% kepada 80% bagi hartanah yang berusia bawah 30 tahun, 75% bagi hartanah berusia lebih 30 tahun dan 51% bagi bangunan tidak berpenghuni.
Pengkritik berpendapat undang-undang itu akan mengusir warga miskin yang tidak dapat terus menetap di kawasan yang dibangunkan semula.
Susulan itu, satu himpunan dianjurkan Pemuda PAS bagi membantah RUU tersebut pada 26 Julai lalu. Bagaimanapun, ia ditukar kepada ‘Himpunan Turun Anwar’ berikutan tindakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim memohon imuniti daripada saman sivil difailkan Yusoff Rawther.