RMK13: Ahli Parlimen pembangkang beri amaran risiko aliran tunai

RMK13: Ahli Parlimen pembangkang beri amaran risiko aliran tunai

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal minta kerajaan jelas keupayaan biayai pelaburan RM611 bilion tanpa GST, hasil baharu atau dividen Petronas yang konsisten.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal garis lima petanda yang memungkinkan negara mengalami masalah aliran tunai pada perbahasan di Dewan Rakyat sebelum ini.
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang memberi amaran negara berisiko berdepan masalah aliran tunai susulan pelaburan besar RM611 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) tanpa hasil konsisten.

Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata dalam perbahasannya sebelum ini, beliau membangkitkan beberapa petanda antaranya ketiadaan sistem hasil baharu seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang sebelum ini menyumbang 3% kepada KDNK.

Menurutnya, kadar kutipan hasil menerusi Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang menggantikannya dijangka lebih rendah.

Katanya, faktor lain termasuk kelewatan rasionalisasi subsidi bahan api, ketiadaan projek pemangkin baharu yang boleh menjana tunai segera, kemungkinan penurunan dividen Petronas, kadar cukai rendah sekitar 12% daripada KDNK, serta hasil pelaburan asing yang hanya datang dalam jangka panjang.

“Boleh atau tidak kerajaan beri jaminan tiada masalah aliran tunai dalam dua tahun pertama RMK13?

“Dari mana sumbernya selain dividen Petronas dan SST?” katanya ketika mencelah penggulungan RMK13 oleh Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan di Dewan Rakyat.

Pada 31 Julai lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaburan RM611 bilion di bawah RMK13, dengan RM430 bilion daripada dana kerajaan.

Sementara itu, RM120 bilion dibiayai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) manakala RM61 bilion menerusi kaedah perkongsian awam swasta (PPP).

Dalam sidang media minggu lalu, Wan Fayhsal turut menggesa kerajaan mengamalkan pendekatan “whole-of-government” dengan melibatkan pembangkang dalam isu Petronas.

Beliau menyenaraikan risiko besar seperti pertikaian dengan Petroleum Sarawak Bhd (Petros), aset tidak produktif di Pengerang dan Kanada, serta gangguan pelaburan di Sudan Selatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.