
Beliau merujuk beberapa kes semasa seperti kejadian menimpa pelajar Tingkatan 1 Zara Qairina Mahathir dan Wan Ahmad Faris di sebuah maahad tahfiz Kelantan serta kejadian buli seorang doktor pelatih sebuah hospital di Tawau, Sabah.
Tegasnya, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap insiden penderaan sama ada fizikal mahupun psikologi yang disifatkan merosakkan masyarakat.
“Saya harap budaya ini kita dapat dihentikan,” katanya berucap pada perjumpaan bulanan warga Jabatan Perdana Menteri.
Beliau turut memberi jaminan segala siasatan membabitkan kejadian buli akan disiasat sebaiknya, meskipun dalam kes Zara berlaku kesilapan dan kelewatan siasatan.
“Tentunya ada beberapa kesilapan dalam proses siasatan, kelewatan dan sebagainya. Tapi percayalah, kita cuba atasi dengan sebaik mungkin.
“Saya, TPM (Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof) dan Saifudin Nasution Ismail (menteri dalam negeri) semua dah keluarkan kenyataan yang kita telah adakan mesyuarat di peringkat tertinggi untuk pastikan siasatan diteruskan,” katanya.
Kematian tragis Zara, pelajar sebuah sekolah agama di Papar yang dikaitkan dengan kes buli mendapat perhatian meluas media tempatan dan antarabangsa.
Zara dilaporkan ditemui tidak sedarkan diri selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama pada 16 Julai, dan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu keesokan harinya.
Dalam kes berasingan, Hartal Doktor Kontrak mendedahkan seorang doktor pelatih sebuah hospital di Tawau yang ditemui meninggal dunia mengalami tekanan emosi yang teruk dipercayai akibat dibuli secara berterusan di tempat kerja.
Menurut kumpulan itu di laman Facebook, wanita itu yang dikenali Dr S menjadi mangsa buli oleh senior yang sama secara berulang kali.