Penganalisis saran DAP terus kritik Akmal, tak perlu putus hubungan

Penganalisis saran DAP terus kritik Akmal, tak perlu putus hubungan

Azmi Hassan berkata ketua Pemuda Umno itu akan mempersoalkan kelayakan DAP mengkritiknya, jika memutuskan hubungan politik dengannya.

Muhamad Akmal Saleh
Pemuda DAP Pulau Pinang dan Negeri Sembilan menggesa parti itu memutuskan semua hubungan dengan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh yang didakwa memecahbelahkan rakyat dan mempolitikkan isu bendera.
PETALING JAYA:
Penganalisis menyarankan DAP tidak perlu memutuskan hubungan dengan Dr Akmal Saleh, sebaliknya patut terus mengkritik ketua Pemuda Umno itu atas kenyataannya yang tidak memanfaatkan kerajaan perpaduan.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, Akmal akan mempersoalkan ‘kelayakan’ DAP mengkritiknya, jika parti itu memutuskan hubungan politik dengannya.

“Akmal boleh jawab kenapa nak sibuk sebut dia atau bising-bising sedangkan sudah putus hubungan.

“Daripada berlapik atau membuat kenyataan tersirat umpama ingin memutuskan hubungan dan sebagainya, lebih baik DAP terus mengkritik Akmal secara terang-terangan. Itu yang patut dilakukan,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini, Pemuda DAP Pulau Pinang dan Negeri Sembilan menggesa parti itu memutuskan semua hubungan dengan Akmal, yang didakwa memecahbelahkan rakyat dan mempolitikkan isu bendera, bagi memastikan ia kekal menolak politik kebencian serta perpecahan.

Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook pula mengarahkan Pemuda DAP di seluruh negara membuat laporan polis terhadap Akmal kerana meneruskan perarakan ke kedai perkakasan di Kepala Batas didakwa mengibar Jalur Gemilang terbalik.

Akmal yang sedang disiasat polis atas dakwaan menghasut dan ugutan jenayah berhubung video Facebook mengenai isu Jalur Gemilang, mentertawakan ugutan memutuskan hubungan dan mencabar DAP berbuat demikian.

Katanya, tindakan itu secara tidak langsung akan menamatkan hubungan DAP dengan Umno, rakan utama dalam kerajaan perpaduan.

Sementara itu, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, polemik Akmal dan DAP lebih kepada masalah peribadi yang tidak membabitkan parti komponen dalam kerajaan perpaduan.

“Jauh sekali kalau kita nak katakan Umno sekarang ada masalah dengan DAP.

“Kalau perhatikan sejak dulu lagi, Akmal memang cenderung melakukan perkara yang nampak tidak sejalan dengan keputusan pucuk pimpinan sendiri. Maka, bagi saya, tindakan beliau tidak boleh dianggap mewakili Umno.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.