
Azalina berkata, inisiatif yang sudah pun dilaksanakan di Sabah dan Sarawak itu akan diperluaskan ke Semenanjung Malaysia tidak lama lagi.
“Kita mahu memperkukuh bantuan guaman dengan memberi tumpuan kepada kawasan luar bandar,” katanya pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-13 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, mahkamah kebanyakannya hanya ada di bandar dan pekan besar di daerah, menyukarkan komuniti luar bandar mendapatkan bantuan guaman.
“Harapan kita untuk menyediakan sekurang-kurangnya satu unit bergerak bagi setiap negeri, khususnya bagi kawasan luar bandar.
“Akses guaman bergerak bukan sahaja menyelesaikan kes kecil tetapi turut membantu dalam urusan pendaftaran dokumen,” katanya.
Menurut Azalina, inisiatif itu turut mendapat sokongan Ketua Hakim Negara Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Azalina turut memaklumkan Rang Undang-Undang Pembelaan Awam akan dibentangkan untuk bacaan pertama minggu depan, diikuti bacaan kedua.
Rang undang-undang yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 yang disemak semula itu akan menyediakan bantuan guaman percuma bagi kes jenayah kepada golongan kurang berkemampuan.