
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata buat masa ini, umur persaraan kekal pada 60 tahun, sebagaimana termaktub dalam Akta Pencen 1980 (Akta 227) dan Akta Pencen Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan (Akta 239).

Namun menurutnya, Rangka Tindakan Penuaan Nasional di bawah Kementerian Ekonomi telah mengenal pasti keperluan mewujudkan dasar menaikkan umur persaraan kepada 65 tahun bagi sektor awam dan swasta, sejajar dengan peningkatan jangka hayat dan perubahan struktur penduduk negara.
“Kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang melaksanakan kajian menyeluruh merangkumi aspek kesihatan, produktiviti, peluang kenaikan pangkat pegawai muda serta implikasi fiskal dalam jangka pendek dan panjang,” katanya ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.
Beliau menegaskan bahawa sebarang keputusan akan dibuat secara berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, dengan mempertimbangkan keseimbangan antara keperluan perkhidmatan awam dan kebajikan penjawat awam.
Zaliha berkata hasil perbincangan bersama Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), beberapa syor telah dikemukakan.
Antaranya pelaksanaan lanjutan umur persaraan secara berperingkat, penjawat awam perlu diberi pilihan untuk bersara antara 60 tahun hingga 65 tahun.
“Selain itu, penjawat awam yang memilih untuk bersara pada usia 65 tahun perlu lulus pemeriksaan kesihatan dan ujian psikometrik,” katanya.
Ketika membentangkan RMK13, bulan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan meneliti had umur persaraan wajib 60 tahun untuk disesuaikan dengan peralihan negara menjadi negara tua.
Menurut laporan Jabatan Perangkaan pada 2022, Malaysia dijangka menjadi negara tua pada 2030 apabila 15.3% penduduk berusia lebih 60 tahun.
Di Malaysia, persaraan wajib bagi penjawat awam ketika ini ditetapkan pada usia 60 tahun. Ia juga usia persaraan minimum bagi pekerja swasta di bawah Akta Umur Persaraan Minimum 2012.