Cedera pegawai imigresen, wanita China dipenjara sebulan, denda RM2,000

Cedera pegawai imigresen, wanita China dipenjara sebulan, denda RM2,000

Wanita China didakwa tarik tudung serta tolak muka dan kepala pegawai imigresen di KLIA.

Fang Fuyuan (kiri) didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Nurdiana Atirah Shapinaz Abdul Rahman dalam kejadian di KLIA Rabu lalu.
SEPANG:
Seorang wanita warga China dihukum penjara sebulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah mencederakan seorang pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.

Majistret Khairatul Animah Jelani membuat keputusan itu selepas Fang Fuyuan, 31, mengaku bersalah sebaik tuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah.

Fang didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Nurdiana Atirah Shapinaz Abdul Rahman semasa beliau melaksanakan tugas rasminya sebagai seorang penjawat awam.

Kesalahan itu dilakukan di kaunter imigresen, aras 4, Balai Pelepasan KLIA Terminal 1 pada 8 malam, Rabu lalu.

Fang didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pengadu diminta oleh rakan sekerja yang bertugas di kaunter imigresen untuk mengalihkan tertuduh dan tiga ahli keluarganya kerana didapati tidak mempunyai rekod kemasukan ke Malaysia, bagi memberikan laluan kepada penumpang warga Bangladesh yang berada di belakang tertuduh.

Ketika diarahkan ke tepi, tertuduh bertindak agresif dengan meninggikan suara, menarik tudung pengadu dan menolak muka serta kepala pengadu ke tiang di depan kaunter.

Akibat tindakan itu, pengadu mengalami gegaran kepala, kecederaan pada bahagian kiri muka, pedih bawah mata dan bengkak kemerahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya V Luvithaa sementara Fang diwakili Tai Ying Fung dan Jason Anthony.

Terdahulu, Tai memohon mahkamah hanya mendenda anak guamnya atas faktor pengakuan bersalah menjimatkan masa mahkamah.

Kesalahan itu juga merupakan kesalahan pertama selain tertuduh telah insaf atas perbuatannya, tambahnya.

“Tertuduh masih muda, tiada rekod jenayah, mempunyai suami serta dua anak kecil berusia setahun setengah dan lima tahun yang bergantung penuh kepadanya. Mereka sekeluarga berada di Malaysia tanpa sokongan keluarga lain.

“Kejadian ini berpunca daripada salah faham dan masalah komunikasi dengan pegawai imigresen. Ia berlaku secara spontan dan bukan dirancang,” katanya.

Luvithaa bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal, mengambil kira kepentingan awam dan untuk menjamin keselamatan orang awam dan penjawat awam yang bertugas semasa kejadian.

Majistret kemudian menjatuhkan hukuman penjara sebulan dari tarikh tangkap dan denda RM2,000, serta memerintahkan penjara dua bulan jika gagal membayarnya.

Khamis lalu, media melaporkan seorang wanita warga China ditahan selepas bertindak agresif dan mencederakan pegawai imigresen semasa pemeriksaan perlepasan di KLIA Terminal 1.

Wanita terbabit bersama seorang lelaki dan dua kanak-kanak hadir untuk pemeriksaan imigresen apabila pegawai bertugas mendapati mereka tidak mempunyai rekod pergerakan masuk, lalu merujuk perkara itu kepada penyelia untuk semakan lanjut.

Dia yang tidak berpuas hati apabila diminta memberi laluan kepada penumpang lain sementara semakan dibuat kemudian bertindak agresif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.