Bicara bela diri Bung, isteri tangguh 2 Sept

Bicara bela diri Bung, isteri tangguh 2 Sept

Hakim Rosli Ahmad membenarkan penangguhan selepas peguam bela K Kumaraendran yang mengendalikan kes pasangan itu tidak sihat.

bung zizie
Bung Moktar Radin dan Zizie Izette Abdul Samad diperintah bela diri pada November tahun lalu atas pertuduhan rasuah dan bersubahat berkaitan pelaburan Felcra bernilai RM150 juta.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen menangguhkan prosiding perbicaraan membela diri Ahli Parlimen Kinabatangan Moktar Radin dan isterinya Zizie Izette Abdul Samad atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta, yang sepatutnya bermula hari ini pada 2 Sept.

Hakim Rosli Ahmad memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan peguam Teh See Khoon yang mewakili Zizie berikutan peguam K Kumaraendran yang mengendalikan perbicaraan kes tidak sihat.

“Kumaraendran tidak sihat kerana ada cecair dalam peparu beliau serta beliau masih dalam rawatan yang mempunyai kesan sampingan dalam tempoh ini. Saya mohon supaya penangguhan dibenarkan,” kata Teh yang mengendalikan kes pasangan itu bersama peguam M Athimulan mewakili Bung.

Dalam prosiding sama, mahkamah turut melapangkan tarikh-tarikh perbicaraan pada esok dan Rabu (20 Ogos).

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How berkata pihak pendakwaan membantah permohonan berkenaan dan bersedia untuk meneruskan perbicaraan bela diri pasangan suami isteri itu.

“Sekiranya keadaan kesihatan peguam Kumaraendran masih dalam keadaan sama iaitu tidak sihat, tertuduh pertama (Bung) boleh memberi keterangan pada 2 Sept nanti,” kata Law.

Pada 22 Mei lepas, Bung dan Zizie gagal untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang memerintahkan mereka membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah berkenaan.

Mahkamah Rayuan pada 18 Nov 2024 memerintahkan pasangan suami isteri itu membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan pasangan itu yang diputuskan Mahkamah Tinggi di sini pada 7 Sept 2023.

Pada 2 Sept 2022, Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob memerintahkan Bung dan Zizie membela diri atas tiga pertuduhan rasuah itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Bung, 65, yang ketika itu pengerusi bukan eksekutif Felcra Berhad didakwa pada 3 Mei 2019, dengan dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie, 46, di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari hingga 5 petang 12 Jun 2015.

Bung juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie bagi tujuan yang sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.