Beberapa suspek kes buli Zara Qairina akan dituduh

Beberapa suspek kes buli Zara Qairina akan dituduh

Jabatan Peguam Negara berkata keputusan menuduh suspek bagi kesalahan buli dibuat memandangkan pertuduhan tidak akan ganggu proses inkues.

Zara Qairina
Zara Qairina Mahathir ditemui tidak sedarkan diri pada 4 pagi 16 Julai lalu selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya di Papar, Sabah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Beberapa suspek terlibat dalam kes buli Zara Qairina Mahathir akan dituduh berdasarkan keterangan yang ada.

Jabatan Peguam Negara berkata, ia susulan penelitian kertas siasatan kes kematian pelajar Tingkatan 1 itu yang dirujuk polis.

“Keputusan untuk menuduh suspek-suspek bagi kesalahan buli berkenaan dibuat memandangkan pertuduhan tersebut tidak akan mengganggu proses inkues yang akan berjalan,” katanya dalam kenyataan.

Jabatan itu menegaskan, walaupun keputusan untuk menuduh suspek bagi kesalahan buli dibuat, ia tidak akan menjejaskan siasatan masih dijalankan polis berhubung kes kematian Zara termasuk prosiding inkues akan dijalankan di mahkamah.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan terdapat unsur buli, pengabaian dan gangguan seksual dalam kes kematian Zara.

Beliau berkata, semua aspek berkenaan dikenal pasti selepas mengambil keterangan daripada 195 saksi setakat hari ini.

“Saya tak tolak daripada membaca tuduhan itu ada elemen buli. Ya, saya nak sebut ada elemen buli. Jelas.

“Ada elemen pengabaian kerana adik ini ada membuat aduan kepada pihak sekolah, jadi kita siasat ada elemen pengabaian,” katanya di Dewan Rakyat.

Pagi tadi, Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Azreena Aziz yang bertindak sebagai koroner menetapkan inkues bagi menentukan punca dan sama ada terdapat unsur jenayah dalam kematian Zara akan bermula 3 Sept ini.

Beliau menetapkan tarikh itu ketika sebutan kes berkenaan di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.

Prosiding akan berlangsung pada 3 hingga 4 Sept, 8 hingga 12 Sept, 17 hingga 19 Sept dan 22 hingga 30 Sept.

Zara ditemui tidak sedarkan diri pada 4 pagi, 16 Julai lalu selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya di Papar, Sabah.

Dia meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I keesokannya.

Jenazahnya digali semula pada 9 Ogos lalu bagi membolehkan bedah siasat dijalankan susulan dakwaan kejadian buli.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.