Warga emas ditahan kerana hambur kata kesat, cuba serang doktor

Warga emas ditahan kerana hambur kata kesat, cuba serang doktor

Suspek dipercayai tidak puas hati kerana terlepas tarikh janji temu klinik dan diberikan tarikh baharu, kata polis.

hospital ampang
Seorang lelaki berusia 61 tahun ditahan polis kerana hina dan cuba serang doktor di Jabatan Kecemasan Hospital Ampang. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Polis memberkas seorang warga emas yang disyaki menghamburkan kata-kata kesat dan mengancam untuk mencederakan seorang doktor di Hospital Ampang baru-baru ini.

Ketua Polis Ampang Jaya, Azam Ismail berkata, mangsa yang merupakan doktor berusia 30 tahun membuat laporan polis sekitar 1.15 tengah hari, 12 Ogos.

Menurut doktor itu, dalam kejadian di Jabatan Kecemasan dan Trauma itu, suspek berusia 61 tahun mengeluarkan kata-kata kesat serta cuba menerkam dan memukul bahagian mukanya.

“(Suspek) tidak berpuas hati terlepas tarikh janji temu klinik dan diberikan tarikh baharu,” kata Azam dalam kenyataan.

Suspek ditahan polis kira-kira 2.20 petang pada hari berikutnya.

Menurut Azam, siasatan lanjut mendapati lelaki itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau.

Suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis manakala kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya minggu ini untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.